08 January 2010

Bantah aman tanpa insiden 83 NGO di Masjid Negara

KUALA LUMPUR 8 Jan. – Bantahan secara aman diadakan di Masjid Negara di ibu kota selepas solat Jumaat hari ini tanpa insiden, malah sekumpulan 83 badan bukan kerajaan (NGO) yang berkumpul di situ mengutuk kejadian bakar gereja yang berlaku awal hari ini.

Mereka membantah pencerobohan itu dan menyifatkan tindakan terbabit akan mengeruhkan lagi keadaan.

Awal hari ini, dua gereja – satu di Desa Melawati, Kuala Lumpur dan satu lagi di Jalan Templer, Petaling Jaya – mengalami kebakaran akibat perbuatan khianat, manakala satu lagi juga di Petaling Jaya menerima ugutan.

Wakil kumpulan NGO tersebut, Arman Azha Abu Hanifah, yang juga ketua Wira Perkasa Negeri Selangor, berkata, tindakan itu merupakan provokasi sesetengah pihak yang boleh mendatangkan perpecahan kaum di negara ini.

"Kita tidak akan bertindak sedemikian sehingga boleh memecah-belahkan kaum dan keharmonian negara,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan aman NGO Melayu di perkarangan Masjid Negara di sini.

Mereka berkumpul di perkarangan masjid dan bersurai dengan aman selepas 10 minit bagi membantah keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan majalah mingguan gereja Katolik, Herald, menggunakan kalimah Allah dalam terbitannya. - Bernama

No comments:

Post a Comment