Hari ini media-media arus perdana yang pro-kerajaan dipenuhi berita kebimbangan pemimpin-pemimpin parti politik Malaysia dan NGO Islam dengan implikasi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan majalah Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya. Antara yang bersuara ialah ketua sayap pemuda dan wanita Umno, Timbalan Presiden Pas dan mantan PM, Dr Mahathir.
Apabila yang lantang mempertahankan nama Allah ialah Ketua Wanita Umno, Datuk Shahrizat Abdul Jalil dan Dr Mahathir, ia mengundang sedikit rasa kagum dalam diri saya. Saya kagum dengan gambaran ketaatan dan kasih sayang mereka kepada Allah hingga seolah-olah ingin melakukan apa saja bagi mempertahankan nama Allah dan darjat Islam.
Saya kagum kerana Shahrizat yang rambutnya separuh telanjang dan seperti Muslimah yang tidak lengkap berpakaian mengikut norma Islam itu, rupanya sangat sayang kepada Allah. Selama ini saya beranggapan bahawa mereka yang tinggi kecintaannnya kepada Allah akan cuba menampilkan dirinya supaya sentiasa kelihatan seperti orang yang taat kepada perintah Allah. Bukan saja dia perlu menjaga ibadahnya tapi juga etika berpakaian dan pergaulannya. Tapi rupanya ada pengecualiannya. Shahrizat walaupun tidak menggambarkan dirinya sebagai Muslimah yang patuh kepada ajaran Allah, rupanya masih sayangkan Allah.
Begitu juga dengan Dr Mahathir. Mahathir semasa berkuasa dahulu terkenal dengan kelancangannya yang mengkritik hukum Allah, terutama hudud. Beberapa ucapan pedas dan sindiran tajamnya terhadap hukum Allah tidak mungkin dilupakan oleh umat Islam negara ini. Malah, kritikan terhadap hukum Allah juga turut disuarakan pemimpin-pemimpin Umno lain, termasuk Pak Lah dan Najib Tun Razak. Antara beberapa ucapan yang menghina hukum Allah yang disuarakan oleh pemimpin-pemimpin Umno ialah:
i) "Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama".(Dr. Mahathir b.Mohamed, 2.5.1992)
ii) 'Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja'. (Dr. Mahathir b.Mohamed, 14.7.1992)
iii) "Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan".
( Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak : 20.4.1993)
iv) "Saya akan memastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh BN tidak akan melaksanakan hukum hudud". (Dr. Mahathir b.Mohamed, 1994)
v) "Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum (hudud) yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan?" (Dr Mahathir Mohamad, 3.3.1994)
vi) 'Hukum rejam kepada penzina adalah primitif'. (Dr. Mahathir b.Mohamed, 3.3.1994)
vii) "Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam". (Dr. Mahathir b. Mohamed : 4.8.1994)
viii) "Melaksanakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam sehingga menjadi masyarakat kucar-kacir dan ditindas oleh orang lain tidak secocok dengan ajaran Islam"(Dato' Seri Mahathir Mohamad, 14.4.1994)
ix) "Tujuan menutup aurat ialah kerana di zaman Nabi, Arab jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain, akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat" (Dato Seri Dr Mahathir Muhamad, 5.9.1997)
x) "Apa erti pembentukan negara Islam jika ia mundur". (Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi: 13.11.1999)
Ketika Dr Mahathir dan Pak Lah menjadi PM dahulu, sayap Pemuda dan Wanita Umno serta NGO Melayu pro-Umno tidak pernah melakukan bantahan apabila pemimpin-pemimpin kesayangan mereka pedas mengkritik hukum Allah. Jika hari ini Najib sendiri yang menyatakan beliau menyokong keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengenai penggunaan nama Allah itu, saya sangat yakin Pemuda dan Wanita Umno tidak akan menyalahkannya. Gambar Pemuda Umno Pulau Pinang mengangkat tangan seolah-olah marah (tapi kebanyakannya nampak relax sambil tersenyum) seperti tersiar di muka depan akhbar Mingguan Malaysia hari ini tidak akan kelihatan jika Najib bercakap senada dengan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Jika UMNO hendak buat bising dalam isu ini, meraka sudah memulakan sejak Dr Mahathir menghina hukum Allah hampir 20 tahun dulu lagi. Mereka juga boleh buat bising apabila Najib meluluskan 10 lesen judi beberapa bulan lalu yang jelas bertentangan dengan hukum Allah. Tapi mereka diam apabila hukum Allah dipermainkan pemimpin mereka kerana mungkin hendak menjaga periuk nasi sendiri.
Begitulah apabila menyebut nama Allah tidak boleh tapi mengingkari perintah Allah dan mempermainkan hukumnya tidak apa. Nama Allah kononnya sayang, tapi hukum Allah depa terajang. - www.pendikargunung.blogspot.com
* Baguslah mereka lantang. Jangan pula senyap kerana hendak jaga kawan (DAP).
No comments:
Post a Comment