BENTONG 2 Jan. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata, Ho Yip Kap yang bertanding atas tiket Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 hari ini menyertai Parti Gerakan selepas gagal dalam permohonannya memasuki semula MCA.
Yip Kap yang bertanding menentang calon MCA dalam pilihan raya lalu mendakwa, beliau seperti menghadapi situasi 'gantung tidak bertali' apabila tiada jawapan diperolehnya berhubung permohonan menyertai semula MCA yang merupakan parti asalnya.
"Saya menyertai Gerakan hasil daripada sokongan dan perbincangan bersama para pengundi dan penyokong di Tanah Rata yang inginkan pembaharuan dalam tampuk kepimpinan.
"Walaupun terdapat gesaan dan cadangan supaya saya menyertai parti pembangkang tetapi saya memilih untuk menyertai Gerakan kerana parti itu masih dalam gabungan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Wisma Gerakan Negeri dekat sini dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Gerakan Negeri merangkap ADUN Ketari, Datuk Dr. Ng Keong Chye.
Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Wanita Gerakan Negeri, Datin Alice Tan Pek Yee dan Ketua Pemuda Gerakan, Ong Boon Hong.
Yip Kap dipecat daripada MCA apabila beliau mengambil keputusan bertanding bagi kerusi DUN Tanah Rata sebagai calon Bebas.
Beliau memenangi kerusi tersebut apabila menewaskan calon MCA pada Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac 2008.
Menurutnya, penyertaan dalam Gerakan dibuat secara sukarela tanpa sebarang syarat atau dijanjikan jawatan tertentu.
Yip Kap berkata, beliau enggan menyertai parti pembangkang kerana yakin mereka tidak mampu membawa pembangunan di kawasan itu.
Menurutnya, beliau sudah menghantar surat kepada kepimpinan MCA di peringkat pusat dan negeri pada 25 November 2008 untuk menarik diri daripada parti itu dan menyertai Gerakan. - Utusan
No comments:
Post a Comment