10 December 2009

Tentera buru 161 suspek

MANILA 9 Dis. - Sekurang- kurangnya 161 orang disyaki terlibat secara langsung dalam pembunuhan politik di selatan Filipina.

"Setakat ini kami telah mengenal pasti 161 suspek yang terlibat secara langsung dalam pembunuhan mengerikan itu," kata Pengarah Polis Negara Filipina, Jeneral Jesus Verzosa dalam satu taklimat berita televisyen yang disiarkan di seluruh negara.

Pihak polis dan pegawai tentera merupakan antara mereka yang terlibat dalam pembunuhan 57 orang pada 23 November lalu, di daerah Mindanao.

Menurutnya, Andal Ampatuan Jr., datuk bandar tempatan, telah mengetuai pembunuhan itu untuk menghentikan ahli politik pembangkang daripada mendaftar sebagai calon untuk pilihan raya gabenor daerah pada tahun depan.

Ampatuan Jr. telah ditahan dengan 25 tuduhan kesalahan membunuh berkaitan pembunuhan tersebut.

Ketika memberikan butiran rasmi berhubung pembunuhan itu, polis hari ini berkata, 26 daripada mangsa terdiri di kalangan wanita dan 32 yang lain adalah wartawan.

Ampatuan Jr. didakwa telah secara sengaja menculik kaum wanita yang mempunyai hubungan dengan ahli politik pembangkang, termasuk sekumpulan wartawan yang menyertai mereka, sebelum kemudiannya menembak mati kesemua mangsa.

Menurut polis, sebahagian daripada mayat mangsa telah ditoreh dengan pisau selain ditembak dari jarak dekat.

Bapa Ampatuan Jr., gabenor Maguindanao dan beberapa anggota keluarganya turut ditahan dan mungkin berdepan dengan tuduhan membunuh, menurut polis.

Presiden Gloria Macapagal Arroyo memperketatkan undang-undang ketenteraan di Maguindanao pada malam Jumaat untuk mematahkan apa yang disebut oleh kerajaan tersebut sebagai satu pemberontakan oleh puak Ampatuan yang sangat berkuasa di wilayah tersebut selama ini. Mereka merupakan sekutu kepada parti pimpinan Arroyo. - AFP

No comments:

Post a Comment