10 December 2009

Pemuda maut ditikam penjenayah

MELAKA 9 Dis. - Keberanian seorang pemuda mengejar penjenayah yang cuba memecah masuk rumah keluarganya bertukar tragedi apabila dia maut akibat ditikam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 pagi di Taman Pahlawan, Sungai Udang dekat sini, mangsa, Nasahrudin Ali, 24, ditikam beberapa kali di bahagian rusuk, dada dan bahu selepas bergelut dengan suspek kira-kira 100 meter dari rumahnya.

Mangsa yang mengalami pendarahan teruk dikejarkan ke Hospital Terendak oleh bapanya, Ali Daud, 50, kira-kira pukul 5.25 pagi tetapi disahkan meninggal dunia.

Ibu mangsa, Fauziah Abdul Hamid, 47, melahirkan rasa sedih atas kejadian yang menimpa anak kedua daripada lima beradik itu dan menyifatkan tindakan penjenayah itu sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

"Kali terakhir saya berjumpa anak saya pukul 4 pagi. Saya ada menegurnya kenapa tak tidur lagi dan dia sekadar tersenyum," katanya.

Menceritakan kejadian itu, Fauziah berkata, dia tersedar kira-kira pukul 4.30 pagi selepas terdengar bunyi bising di luar rumahnya.

"Selepas terdengar bunyi itu, saya mengejutkan suami untuk melihat apa yang berlaku di luar rumah.

"Sebaik sahaja membuka pintu, saya nampak Nasahrudin sedang melompat pagar dan mengejar seorang lelaki yang tidak dikenali," katanya.

Dalam keadaan samar, menurut Fauziah, suaminya turut berlari ke arah anaknya untuk mengetahui apa yang berlaku.

"Tidak sampai lima minit, saya terkejut melihat suami berlari sambil memikul anak dalam keadaan berlumuran darah," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment