KUALA LUMPUR 24 Dis. – Polis diminta menyiasat serta mendedahkan pihak yang menaja pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin untuk tinggal di sebuah apartmen mewah di London jika dakwaan itu berasas.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi (gambar) berkata, teori tersebut tidak boleh ditolak mentah-mentah kerana umum mengetahui Raja Petra merupakan seorang muflis dan tidak mungkin dia mampu hidup dalam kemewahan.
Katanya, secara peribadi beliau percaya Raja Petra ditaja sama ada oleh individu atau pertubuhan politik tertentu kerana pengendali laman web berkenaan terkenal dengan sikapnya yang ‘terlalu berani’ hingga ke peringkat boleh mengancam keselamatan serta menghuru-harakan negara.
‘‘Sudah tentu keberanian ini menarik perhatian sesetengah pihak. Saya juga yakin pihak yang menaja Raja Petra itu juga sealiran dengannya iaitu mahu melihat negara ini huru hara. Diharap polis membuat siasatan secara lebih menyeluruh tanpa menolak sebarang teori yang berkaitan.
‘‘Siapa yang tidak mengenali Raja Petra yang suka menabur fitnah dan berbohong. Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri adalah antara pemimpin yang menjadi bahan fitnah Raja Petra,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Isu Raja Petra kembali mendapat perhatian baru-baru ini apabila dia yang sebelum ini dilaporkan berada di Melbourne, Australia, kini dipercayai bersembunyi di Apartment Trinity Court di Gloucester Bayswater, London.
Menurut sumber, Raja Petra dipercayai menyewa salah sebuah unit di pangsapuri mewah enam tingkat itu sejak menjadi buruan polis, kira-kira lapan bulan lalu.
Raja Petra menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Ekoran daripada perkembangan tersebut pihak polis akan memohon perintah ekstradisi daripada Kerajaan British kerana pengendali laman web itu perlu menghadiri perbicaraan di mahkamah.
Dalam pada itu Mohd. Puad berkata, tidak mustahil pihak yang menaja Raja Petra turut bersubahat membantunya melarikan diri selepas pengendali laman web berkenaan menjadi buruan polis.
‘‘Oleh itu saya amat berharap pihak yang menaja dan membantu Raja Petra dikenakan tindakan sewajarnya kerana mereka bekerjasama dengan seseorang yang mampu mengancam keselamatan negara,’’ katanya.
Dalam perkembangan sama beliau berkata, selain cuba mendapatkan ekstradisi gerakan memburu pihak yang menaja Raja Petra juga perlu dijalankan dengan lebih bersungguh-sungguh.
Beliau bagaimana pun berkata gerakan itu bergantung sama ada dakwaan tersebut benar atau sebaliknya.
‘‘Ia penting supaya semua gerakan yang bertujuan untuk mengancam keselamatan serta menghuru-harakan negara dapat dilumpuhkan segera,’’ katanya lagi. - utusan
* Ingin tahu juga, siapa yang taja Saiful Bukhari sekarang...
No comments:
Post a Comment