23 December 2009

Ragut RM53,000

KLANG: Seorang ahli perniagaan wanita kerugian hampir RM53,000 selepas diragut seorang lelaki bermotosikal berhampiran sebuah bengkel di Bukit Tinggi di sini, petang, semalam.

Dalam kejadian jam 5.45 petang, mangsa, 45, dipercayai baru keluar dari kenderaannya untuk membayar kos membaik pulih kenderaannya sebelum sebuah motosikal tiba-tiba muncul dan menyambar beg tangannya.

Difahamkan sebelum kejadian, mangsa baru mengeluarkan sejumlah wang di sebuah bank di Jalan Kapar, dekat sini dan pulang seketika ke rumahnya sebelum bergegas ke bengkel untuk menjelaskan tunggakan.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata siasatan awal tidak menolak suspek mengekori mangsa sebelum menunggu peluang menyamun.

Menurutnya, mangsa yang panik selepas kejadian hanya mampu melihat beg tangannya yang mengandungi sejumlah wang tunai untuk urusan perniagaannya, barang kemas, telefon bimbit serta beberapa barangan berharga dilarikan penyamun terbabit.

“Kami percaya suspek mengekori mangsa dari bank dan menunggunya keluar dari rumah sebelum meragut beg tangannya.

“Berdasarkan maklumat awal yang kami terima, suspek berusia 40-an manakala motosikal yang digunakan dalam kejadian ini dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya di sini, semalam.

Mangsa mahu melunaskan bayaran kos baik pulih keretanya berjumlah RM1,000. Mangsa tidak cedera dalam kejadian itu.

Mohamad berkata, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana kesalahan meragut dan meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan.- Mymetro

No comments:

Post a Comment