23 December 2009

BNM umum keperluan isytihar mata wang baru di pintu masuk, keluar

KUALA LUMPUR: Selaras dengan usaha global untuk mencegah pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, Bank Negara Malaysia (BNM), mengumumkan keperluan pengisytiharan mata wang baru di semua pintu masuk dan keluar negara ini.

Berkuatkuasa mulai 1 Januari 2010, pengembara yang memasuki atau meninggalkan Malaysia dengan membawa wang tunai dan/atau instrumen pembawa boleh niaga (contohnya cek kembara, cek pembawa) melebihi nilai bersamaan AS$10,000 dimestikan membuat pengisytiharan dalam borang Kastam No 22.

"Borang Kastam No 22 disediakan di kaunter sebelum tempat pemeriksaan Kastam di kesemua pintu masuk dan keluar Malaysia.

"Pengembara boleh didenda sehingga RM1 juta dan/atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun sekiranya gagal membuat pengisytiharan atau membuat pengisytiharan palsu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

BNM berkata, ia disyaratkan di bawah Seksyen 23 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan selaras dengan Cadangan Khas IX oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan yang menghendaki negara-negara mengadakan langkah-langkah bagi mengesan pemindahan wang tunai dan instrumen pembawa boleh niaga merentas sempadan secara fizikal.

"Kanada, United Kingdom, Australia, New Zealand, Jepun, Filipina dan Singapura telah menerima pakai keperluan pengisytiharan yang sama untuk pemindahan wang tunai dan instrumen pembawa boleh niaga secara fizikal," tegasnya. - Bernama

No comments:

Post a Comment