23 December 2009

Penerbit filem, 2 anak didakwa

KUALA LUMPUR 22 Dis. – Seorang penerbit filem bergelar Datuk dan dua anak perempuannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggubah wang haram berjumlah RM60 juta.

Datuk Adzhar Sulaiman, 54, dan dua anaknya, Noradzma, 33, dan Noradzrin, 24, didakwa menggunakan wang haram untuk membeli beberapa hartanah di Perak dan Pahang, membeli produk insurans, pelaburan serta memindahkan wang ke akaun anak syarikat mereka.

Noradzma merupakan pengarah syarikat pelancongan Noradz Travel & Services Sdn. Bhd. sementara adiknya Noradzrin, penuntut tahun akhir di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam jurusan pengurusan perniagaan.

Mereka didakwa melakukan aktiviti penggubahan wang haram tersebut di beberapa buah bank di sekitar Kuala Lumpur termasuk di EON Bank Berhad, Malayan Banking Berhad, Ambank (M) Berhad dan Eoncap Islamic Berhad di antara 14 Ogos 2007 dan 6 Januari lalu.

Ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Adzhar dan Noradzma turut menghadapi tuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen yang sah di antara Julai 2006 dan Oktober 2008 di No. 14-1A, Jalan 3/10, Pandan Jaya, di sini.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 25(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Akta 372) yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, Dzulkifli Ahmad menawarkan jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh memandangkan jumlah kerugian yang terlibat adalah besar.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam bela, Abdul Rahim Sinwan memohon agar mahkamah membenarkan jaminan RM100,000 kerana wang simpanan mereka sebanyak RM52 juta telah disita oleh pihak bank sejak kes disiasat pada Oktober tahun lalu.

Hakim S. M. Komathy Suppiah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan cagaran sebanyak RM150,000 berserta seorang penjamin.

Beliau juga memerintahkan mereka menyerahkan pasport antarabangsa dan melapor diri di Balai Polis Pandan Indah, sebulan sekali. Kes akan disebut semula pada 18 Februari depan.

Syarikat Noradz turut menjalankan perniagaan dalam bidang pelaburan, penyewaan kereta, insurans dan penerbitan filem serta drama.

Antara filem yang pernah diterbitkan oleh Noradz Productions Sdn. Bhd adalah Shhh.. Dia Datang yang dibintangi pelakon, Saiful Apek. - Utusan

* Harap kerajaan Pakatan Rakyat nanti menyemak akta ini yang dilihat menyekat hak kebebasan rakyat menentukan ke mana mereka hendak melabur.

No comments:

Post a Comment