23 December 2009

PDRM, kerajaan diarah bayar RM30,000 setiap peserta APCET

KUALA LUMPUR 22 Dis. - Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan supaya membayar ganti rugi am RM30,000 setiap seorang bagi 29 peserta persidangan Asia Pasifik Timor Timur II (APCET) pada 1996 ekoran kesusahan yang dialami akibat ditahan selama 24 jam.

Perkara tersebut diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Adnan @ Addinan Muhamad (kini Hakim Mahkamah Rayuan).

Beliau menyatakan: ''Ganti rugi bukanlah ganjaran sebaliknya adalah pampasan yang dikira berdasarkan kesusahan yang dialami semasa ditahan selama 24 jam antara 9 dan 10 November 1996. Saya rasa ia sudah memadai.''

Sungguhpun begitu, Hakim Wan Adnan berpendapat, tindakan polis menahan mereka di tempat persidangan tidak salah di sisi undang-undang memandangkan tugas penjawat awam untuk mengawal keselamatan bagi mengekang kekecohan.

Selain itu, beliau memerintahkan supaya kedua-dua defendan membayar faedah sebanyak lapan peratus yang dikira mulai tarikh saman difailkan pada 9 November 1998 sehingga penyelesaian penuh kes.

Antara 29 plaintif yang menerima ganti rugi dalam kes saman tersebut ialah Ahli Parlimen pembangkang Chua Tian Chang (PKR-Batu) atau Tian Chua, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr. Syed Husin Ali, Naib presiden parti itu, Dr. Sanusi Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini, J. Premesh Chandran dan presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamad.

Hakim Wan Adnan bagaimanapun tidak membenarkan jumlah ganti rugi khas, teladan, keterlaluan yang turut dimohon oleh plaintif disebabkan ketika perbicaraan mereka tidak mengemukakan dokumentasi yang lengkap dan sekadar bergantung kepada keterangan lisan semata-mata.

Ketika saman mula difailkan, terdapat 36 plaintif kesemuanya yang menuntut ganti rugi berjumlah RM87 juta, sebelum empat daripada mereka menarik balik tuntutan tersebut. Kemudiannya, seorang plaintif pula meninggal dunia sementara dua lagi tidak menghadiri prosiding.

Peserta APCET yang terdiri daripada pemimpin parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis sosial menyaman bekas Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Ismail Che' Ros dan empat yang lain berhubung penahanan mereka yang didakwa tidak sah dan salah. - Utusan

* Cemar imej polis...

No comments:

Post a Comment