29 December 2009

Pemuda Pas buat laporan polis

SHAH ALAM 28 Dis. – Bimbang imej Pas akan terjejas, Dewan Pemuda Pas Selangor (DPPNS) hari ini membuat laporan polis terhadap kumpulan Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi Pas Negeri Selangor (GKPPNS).

Laporan yang dibuat Timbalan DPPNS, Ahmad Zaidi Abdul Talib itu turut menyatakan yang tindakan GKPPNS bertujuan memfitnah serta berniat jahat terhadap Pas Selangor.

‘‘Tujuan kita buat laporan ini untuk bersihkan nama kita kerana mereka ‘menyamar’ sebagai ahli Pas dan menggunakan nama Pas dalam perhimpunan itu.

‘‘Kita tidak tahu siapa mereka kerana dari semakan yang kita buat (Pas Pusat dan Pas Bahagian Gombak) kita dapati mereka bukan ahli kita.

‘‘Tindakan (penyamaran) itu juga telah merosak dan mencemarkan imej Pas sebagai salah sebuah parti politik yang dominan di negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini hari ini.

Ahmad Zaidi mendakwa, kenyataan kumpulan itu semasa perhimpunan tersebut adalah satu pembohongan.

‘‘Kumpulan tersebut telah membuat fitnah dan berniat jahat terhadap Pas apabila menyatakan bahawa Pas telah dijadikan boneka dan kuda tunggangan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

‘‘Tuduhan jahat ini telah jelas menjejas nama baik parti ini,” katanya yang tidak menolak bahawa perhimpunan itu didalangi oleh UMNO.

Ditanya tindakan susulan yang akan diambil terhadap kumpulan berkenaan, Ahmad Zaidi berkata pihaknya akan meneliti sama ada akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka terlibat atau sebaliknya.

Ujarnya, pihaknya juga akan mengenal pasti dalang dalam perhimpunan itu melalui gambar serta video yang diperolehinya.

‘‘Kita juga berharap supaya pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut agar perkara seperti ini tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.

Dianggarkan hampir 20 ahli DPPNS hadir sama ketika membuat laporan berkenaan.

Semalam sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka Gerakan Kesedaran Penyokong dan Pengundi Pas Negeri Selangor (GKPPNS) mengadakan perhimpunan aman mendesak kepimpinan parti itu supaya keluar daripada pakatan pembangkang.

Ia ekoran rasa tidak puas hati terhadap pimpinan kerajaan campuran Selangor itu dalam memperjuangkan Islam dan bangsa Melayu. - Utusan


* Mengaku PAS tapi kelakuan UMNO

No comments:

Post a Comment