15 December 2009

Pekerja kena sembelih

SEREMBAN: Umpama adegan filem, sekumpulan enam penjenayah yang menaiki dua teksi menyerbu sebuah stesen minyak di Jalan Sungai Ujong di sini sebelum menikam dan ‘menyembelih’ dua pekerjanya, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 malam, pekerja dikelar leher maut, manakala rakannya yang ditikam di rusuk cedera parah.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sembilan, Superintendan Zazali Hashim, berkata sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian itu bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

“Berdasarkan siasatan, enam lelaki menyerbu masuk ke dalam stesen minyak itu dan menyerang pekerja kaunter warga Pakistan dikenali sebagai Suhil menggunakan senjata tajam.

“Empat lagi penjenayah pergi ke kabin di belakang stesen minyak tempat seorang pekerja yang juga warga Pakistan dikenali sebagai Nasir, 20-an, sedang berehat lalu mengikat tangan dan mengelar lehernya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang dikelar di lehernya meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat, manakala rakannya yang parah akibat ditikam di rusuk dalam keadaan stabil,” katanya.

Menurutnya, kumpulan penjenayah terbabit melarikan sejumlah wang tunai dari kaunter, namun jumlahnya belum dapat dipastikan berikutan sebahagian daripada wang jualan itu sudah dimasukkan ke dalam peti besi dan tidak dapat dibuka penjenayah.

“Polis sudah mengenal pasti seorang daripada kumpulan penjenayah terbabit dan usaha menjejakinya sedang dilakukan.

“Pemeriksaan polis di tempat kejadian menemui pisau yang dipercayai digunakan kumpulan penjenayah terbabit,” katanya.

Zazali berkata, stesen minyak itu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), namun tidak dapat merakam kejadian itu kerana rosak.

“Polis masih menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian itu dan siasatan akan dilakukan dari segenap aspek,” katanya.

Sepasukan polis dari Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu penyiasatan.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan di talian 06-7619999 atau balai polis berhampiran. - Mymetro

* Penyamun-penyamun terus berpesta di Malaysia.

No comments:

Post a Comment