23 December 2009

Nasib Hassan Ali Ditentukan Malam Ini

PETALING JAYA: Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat yang akan bermesyuarat malam ini bakal menentukan nasib Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohd. Ali berhubung dakwaan menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Pengerusinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun berkata, beliau berharap isu berhubung siasatan berkenaan tidak diperbesarkan bagi menjaga maruah dan kepentingan parti.

"Insya-Allah kami akan bermesyuarat malam ini bagi meneliti dokumen-dokumen yang berkaitan dalam siasatan ini.

"Kami akan sama-sama mengkaji semua butiran yang ada dengan teliti bagi memastikan keadilan diberikan kepada semua pihak," katanya ketika ditemui mStar Online di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai perkembangan terkini siasatan yang dijalankan pihaknya ke atas beberapa pemimpin PAS Selangor.

Menurut beliau jawatankuasanya akan mengadakan mesyuarat pada pukul 9 malam ini di Ibu Pejabat PAS Pusat.

Jawatankuasa disiplin berkenaan dianggotai lima orang ahli.

Selain itu Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan dengan telus bagi memastikan keadilan untuk semua pihak.

Malah jelasnya, siasatan yang adil juga akan mencerminkan imej dan maruah parti.

"Saya harap semua pihak bersabar, jangan buat sebarang andaian kerana kami berjanji akan menjalankan siasatan dengan adil dan telus.

"Kita harus ingat, apa jua tindakan dan keputusan badan disiplin ini akan mencerminkan maruah parti," katanya.

Menurutnya jika Hassan dan beberapa pemimpin lain yang disiasat itu didapati bersalah, mereka masih mempunyai peluang untuk memberikan penjelasan dan membela diri.

"Terpulang kepada hasil siasatan nanti, setakat ini hanya diperingkat pertuduhan, kalau benar-benar ada kes nanti baru kita akan panggil Datuk Hassan dan yang lain-lain itu untuk memberikan keterangan," katanya. - Mstar

No comments:

Post a Comment