23 December 2009

'Mengapa bapa saya saja pertahan PAS?'

Anak menteri besar Kelantan Nik Amalina Nik Abdul Aziz mempersoalkan kenapa hanya bapanya sahaja yang bangun mempertahankan PAS sedangkan pemimpin yang lain didakwa bersikap membisu.

"Kenapa harus Tok Guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) saja yang bangun mempertahankan setiap apa yang berlaku. Bangunlah juga wahai pimpinan. Tunjukkanlah juga bahawa anda bersatu.

"Buktikan dengan tindakan. Jangan hanya (dengan) suara dari belakang yang anda juga menyanyangi Tok Guru, dan sudah tentu kerajaan Islam hari ini," tulis Nik Amalina dalam blognya hari ini.


Anak kesembilan mursyidul am PAS itu kini terheret sama dalam kontroversi kedudukan suaminya Abdul Ariffahmi Ab Rahman sebagai ketua pegawai eskekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) setelah mengulas perkara itu di blognya sebelum ini.

Sesetengah pihak beranggapan beberapa tulisan Nik Amalina itu, antaranya dengan mencabar seorang exco kerajaan negeri - dipercayai Datuk Husam Musa - meletakkan jawatan, telah memburukkan lagi kemelut dalam pentadbiran bapanya.

Kelmarin, ketua penerangan PAS Idris Ahmad dilaporkan berkata, Nik Amalina tidak seharusnya "membuka pekung di dada" dengan mendedahkan isu-isu melibatkan kepentingan parti di blog.

Menurutnya, banyak perkara yang melibatkan hal dalaman tidak bolehlah diceritakan kepada semua orang.

Menulis dalam blognya Seri Suri hari ini, Nik Amalina mempersoalkan sikap sesetengah pemimpin PAS yang tidak dinamakan, yang disifatkannya cepat melatah dan mahukan publisiti murahan ekoran kontroversi kes suaminya itu.

'Publisiti murahan'

"Kalau ada yang melatah, boleh kiranya saya berkata, semuanya mahukan publisiti murahan, sebagaimana yang saya dapat!

"Waktu sepatutnya buka mulut, semuanya bisu. Waktu sepatutnya bisu, apa yang anda semua telah buat?

"Jangan hanya pandai bercakap, 'sepatutnya begitu, sepatutnya begini,' tetapi bertindaklah," tulisnya dalam artikel terbaru berjudul "Kerana saya anak Nik Aziz" pagi tadi.

Berhubung isu "membuka pekung di dada", beliau dilihat cuba mempertahankan diri dengan mempersoalkan sejauh mana kebenaran dakwaan tersebut.

"Saya yang dikatakan 'membuka pekung' parti agak menerima asakan terbuka daripada pelbagai pihak. Sejauh mana sebenarnya saya membuka pekung parti? Itulah yang saya cuba nilaikan.

"Berpadanankah dengan asakan yang saya terima? Adakah ia adil bagi saya? Apa pula pendirian pimpinan terhadap fitnah yang tersebar meluas? " soalnya.

Walaupun terdapat desakan berundur segera, Abdul Ariffahmi tetap dengan keputusannya untuk melepaskan jawatannya Mac depan.

Beliau memberitahu Malaysiakini, notis peletakan jawatannya telah diserahkan kepada Nik Aziz selaku pengerusi PMBK pagi tadi.- Malaysiakini

No comments:

Post a Comment