Seorang pekerja restoran berusia 27 tahun menyerah diri kepada polis selepas dipercayai membunuh dua rakan sekerjanya di rumah sewa mereka di Kempas Baru di Johor Bahru pada 6 pagi ini.
Insiden itu berlaku ketika lelaki yang berasal dari Kelantan itu bertengkar dengan rakannya yang juga berasal dari Kelantan dan seorang lagi rakan sekerja warga Thailand yang baru pulang dari kerja.
Pertengkaran itu kemudiannya membawa kepada tumbuk menumbuk, mengakibatkan suspek mengeluarkan sebilah pisau Rambo lalu menikam kedua-dua mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an di dada serta perut.
Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Suspek kemudian menyerah diri di balai polis Kempas kira-kira 30 minit selepas kejadian.
Ketua Polis Daerah Johor Baharu (Utara) Ruslan Hassan berkata polis telah pun menemui senjata yang digunakan dalam pembunuhan itu.
"Kami sedang menyiasat sama ada suspek mempunyai sebarang rekod jenayah," katanya, dan menambah kedua-dua mayat dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.
Ruslan berkata polis sedang menyiasat motif pembunuhan tetapi tidak menolak kemungkinan pertengkaran itu mungkin disebabkan masalah peribadi antara ketiga-tiga lelaki terbabit. BERNAMA
No comments:
Post a Comment