18 December 2009

Azizul Azual tetap ke tali gantung

KUALA LUMPUR 17 Dis. - Selepas dua rakannya dihukum gantung sampai mati, akhirnya tertuduh ketiga dalam kes pembunuhan Pensyarah Sains Sukan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Bakarudin Busu turut menerima nasib yang sama hari ini.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhamad Ideres Muhamad Rapee selepas beliau meneliti laporan akhlak Azizul Azual Mohamad Jailani, 25, selaku pesalah muda.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Azizul Azual, Mohamed Haniff Khatri Abdulla menyatakan pihaknya akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan.

Sejurus keputusan itu dibacakan, tertuduh kelihatan tenang sementara ahli keluarganya yang hadir dilihat sedih dan saling berpelukan.

Pada 13 November lalu, Azizul Azual bersama dua lagi tertuduh iaitu Sulkarnain Alias, 32, dan Noorman Ab. Wahab, 31, didapati bersalah atas tuduhan membunuh Bakarudin setelah Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Nordin Ismail berjaya membuktikan pertuduhan itu.

Bagaimanapun, hukuman terhadap Azizul Azual ditangguhkan bagi mendengar rayuan peguam dan laporan akhlak Azizul Azual oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat memandangkan semasa kejadian, dia berusia 18 tahun dua bulan.

Laporan yang dibacakan oleh pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan, Mohamad Fazli Abdul Rahman menyatakan tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Pegawai tersebut juga menyatakan tertuduh, seorang yang mudah mesra dan mempunyai ramai rakan. Disebabkan usianya yang muda ketika kejadian, dia mungkin terpengaruh dengan ajakan rakan sebaya.

Sementara itu, Mohamed Haniff dalam rayuannya menyatakan anak guam memohon maaf kepada mahkamah kerana dia mempercayai bahawa pertemuannya dengan Sulkarnain dan Noorman pada hari kejadian adalah secara baik.

Beliau menyatakan tertuduh mempercayai mereka kerana kedua-dua lelaki itu merupakan rakan baik abangnya yang dia hormati.

Menurut beliau lagi, Azizul Azual juga berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat termasuk ahli keluarganya yang sentiasa menyokong selama enam tahun perbicaraan berlangsung.

Azizul Azual, 26, didakwa bersama-sama Sulkarnain dan Noorman membunuh Bakarudin, 35, pada pukul 9.30 malam, 12 Februari 2002 di Jalan SS19/6, Subang Jaya, Selangor.

Dia yang pernah bekerja sambilan di kedai komputer itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.

Mangsa, Bakarudin merupakan merupakan bekas wartawan sukan Utusan Malaysia mati akibat pelbagai kesan tetakan di beberapa anggota badan dan kepala sehingga sebahagian otaknya terkeluar.

Sepanjang perbicaraan seramai 30 saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan termasuk ketiga-tiga tertuduh telah dipanggil memberi keterangan. - Utusan

No comments:

Post a Comment