04 December 2009

Kes pemecatan Anwar

PUTRAJAYA 3 Dis. - Mahkamah Persekutuan akan memutuskan pada satu tarikh lain sama ada pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada jawatan Kabinet pada 1998, sah di sisi undang-undang atau dibuat tanpa mengikut perlembagaan.

Mahkamah akan menentukan rayuan pemimpin pembangkang itu yang memohon perisytiharan bahawa Perdana Menteri yang dinamakan sebagai responden pertama dan Kerajaan Malaysia responden kedua bertindak membelakangi perlembagaan ketika memecatnya, 11 tahun lalu.

Sehubungan itu, panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff akan mengisytiharkan sama ada pemecatan Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 5.30 petang, 2 September 1998, sah atau terbatal.

Hakim Alauddin yang bersidang bersama dua Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Wira Mohd. Ghazali Mohd. Yusof dan Datuk Abdull Hamid Embong juga akan mengeluarkan perintah sama ada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu layak menerima ganti rugi ekoran pemecatannya.

Anwar merayu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan mengisytiharkan tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memecat beliau daripada semua jawatan Kabinet dibuat berlandaskan perlembagaan.

Peguam Karpal Singh yang mewakili beliau hari ini berhujah, pemecatan itu tidak sah kerana bercanggah dengan Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan hanya Yang di-Pertuan Agong berhak memecat menteri Kabinet atas nasihat Perdana Menteri.

Karpal turut menghujahkan Dr. Mahathir bertindak tanpa mengikut perlembagaan ketika memecat Anwar kerana beliau sekadar menyampaikan atau memaklumkan keputusan yang dibuatnya, bukan menasihati baginda.

Peguam itu kemudian memetik hansard yang dikemukakan di Parlimen mengandungi jawapan Perdana Menteri berhubung tindakannya yang antara lain berbunyi:

''Saya telah menyampaikan keputusan saya kepada Agong. Sama ada apa yang saya sampaikan itu satu nasihat atau tidak terpulang kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat. Pada pendapat saya, apa yang disampaikan itu adalah nasihat.''

Sehubungan itu, Karpal menyatakan, Dr. Mahathir telah menyalahgunakan kuasa dan menghina kedaulatan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi yang diguna pakai di negara ini.

Hujah beliau, kesilapan arah dalam undang-undang boleh diperbetulkan oleh Mahkamah Persekutuan yang merupakan mahkamah tertinggi kerana jelas bahawa Anwar telah dinafikan hak sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

''Mahkamah harus memastikan wujudnya kehakiman yang jujur di negara ini,'' ujar beliau.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md. Said berhujah, pelantikan menteri Kabinet terletak di tangan Perdana Menteri kerana Seri Paduka melalui sistem Raja Berperlembagaan mempunyai kuasa yang sangat terhad berbuat demikian.

Beliau menghujahkan, baginda tidak mempunyai kuasa untuk mempertikai atau menolak sebarang pelantikan mahupun pemecatan menteri kerana rujukan kepada Yang di-Pertuan Agong mengikut Perkara 43(5) hanya satu formaliti memandangkan baginda adalah Ketua Eksekutif.

Kamaludin menyatakan, dalam hal itu, Seri Paduka tidak membantah pemecatan Anwar ketika disampaikan oleh Dr. Mahathir dan ia jelas menunjukkan baginda memperkenankan keputusan tersebut.

Sehubungan itu, beliau memohon rayuan itu ditolak kerana ia remeh, tidak berasas dan sia-sia selain telah menjadi akademik serta membuka ruang kepada penyalahgunaan proses mahkamah.

Dalam pada itu, Anwar memberitahu pemberita di luar mahkamah, beliau tidak berniat untuk dipertimbangkan kembali dalam jawatan Kabinet tetapi rayuan itu bertujuan memperjelaskan kuasa Seri Paduka agar rakyat memahami semangat Raja Berperlembagaan. - Utusan

No comments:

Post a Comment