03 December 2009

Enggan minta maaf, Azhar digantung

Ketua pembangkang di DUN Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim digantung daripada menghadiri sidang dewan itu kerana insiden "tunjuk punggung" yang mendorong semua wakil rakyat BN bertindak keluar dewan.

Azhar (Umno-Penaga) digantung sepanjang sidang dewan sekarang, yang berakhir esok, selepas beliau enggan memohon maaf berhubung tuduhan menunjukkan punggung kepada Sim Tze Tzin (PKR-Pantai Jerjak) semalam.

Azhar dituduh melakukan perbuatan itu ketika hendak keluar dewan setelah Timbalan Speaker Tan Hock Leong mengarahkan beliau keluar kerana enggan menarik balik istilah "dua tiga kerat" semasa membahaskan Bajet 2010 semalam.

Bercakap kepada media di lobi dewan, Azhar mendakwa ia merupakan satu lagi konspirasi Pakatan Rakyat untuk menghalangnya mengkritik pentadbiran kerajaan negeri.

"Saya cuma membongkok untuk ambil beg kerana beg saya berada di bawah, takkan pula saya nak lambung guna kaki dan tangkap, tapi dituduh menunjukkan punggung pula.

"Inilah satu contoh yang ditunjukkan oleh sebuah kerajaan yang tidak bermoral, tidak bermaruah dan tidak sanggup menerima kritikan," katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, insiden ini bermula apabila Sim yang mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2010 pagi ini membangkitkan isu itu yang kemudiannya mendapat perhatian daripada Speaker DUN Abdul Halim Hussain.

Speaker kemudian mengarahkan Azhar supaya memohon maaf kerana perbuatan itu seolah-olah menghina Sim.

Abdul Halim juga mempelawa Azhar untuk menonton tayangan video kejadian semalam, namun Azhar enggan.

"Saya tidak bersalah, untuk apa saya minta maaf atas perkara yang saya tidak lakukan. Saya ada prinsip dan berpegang kepada prinsip itu," katanya.

Selain Azhar, lapan lagi wakil rakyat BN turut keluar dewan sebagai tanda protes terhadap tindakan yang dikenakan.

Azhar digantung sehingga persidangan selesai esok.

Azhar berkata beliau akan menghantar aduan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung tindakan yang dikenakan terhadapnya, dan salinan aduan itu dihantar kepada semua Speaker DUN negeri. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment