25 December 2009

Ahli perniagaan dirompak RM930,000

MIRI 25 Dis. - Seorang ahli perniagaan dari Kuala Lumpur membuat laporan polis semalam bahawa dia dirompak RM30,000 dan barang kemas bernilai RM900,000 ketika dalam perjalanan dengan teksi di jalan pesisir pantai Miri-Bintulu berhampiran Suai, kira-kira 115 KM dari sini.

Ketua Daerah Polis Miri, ACP Jamaludin Ibrahim hari ini berkata, ahli perniagaan berusia lewat 40-an itu membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Bintulu, tetapi kes itu dirujuk semula kepada daerah polis di sini.

“Berdasarkan laporan mangsa, kejadian berlaku di kawasan Suai, yang terletak dalam bidang kuasa polis Miri,” katanya kepada Bernama.

Menurut ahli perniagaan itu, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 1 tengah hari semalam apabila enam atau tujuh lelaki bertopeng yang menaiki dua kereta menghalang perjalanan teksi yang dinaikinya.

Katanya, perompak berkenaan memecahkan cermin teksi dan seorang daripada mereka mencekik lehernnya serta mengugutnya dengan sebilah pisau supaya menyerahkan barangan berharga yang dibawanya.

Kata ahli perniagaan itu, oleh kerana bimbangkan keselamatan dirinya, dia menyerahkan semua barang kemas berkenaan, yang sepatutnya diagihkan kepada beberapa tukang emas di Bintulu serta wangnya, kepada perompak terbabit, sebelum mereka melarikan diri.

Selepas kejadian, dia meneruskan perjalanan ke Bintulu dan membuat laporan polis.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment