29 December 2009

15 maut rusuhan di Teheran

TEHERAN 28 Dis. – Lebih 15 terbunuh dalam rusuhan yang menggegarkan Teheran dalam tunjuk perasaan antikerajaan, demikian menurut televisyen negara hari ini, ketika sebuah laman web melaporkan penangkapan seorang tokoh pembangkang.

Televisyen negara melaporkan 10 orang yang terbunuh dalam pertempuran ganas semalam di ibu negara Iran ini adalah anggota kumpulan ‘pengganas antirevolusi’, merujuk kepada penyokong pembangkang.

Menurut laporan itu, lima lagi telah dibunuh oleh ‘kumpulan pengganas’ dalam ‘tindakan yang meragukan’, tanpa memberi penjelasan lanjut.

Laman web reformis semalam melaporkan bahawa pasukan keselamatan telah membunuh anak saudara kepada pemimpin pembangkang, Mir Hossein Mousavi ketika polis mengesahkan bahawa lima terkorban dalam insiden berdarah terburuk antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan sejak beberapa bulan lalu.

Pembangkang berkata, mereka yang maut adalah akibat tembakan selepas pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan untuk menyuraikan penunjuk perasaan di tengah Teheran.

Tindakan keras itu diambil selepas pihak berkuasa memberi amaran akan menghentikan cubaan untuk menggunakan upacara sambutan Asyura sebagai alasan mengadakan protes.

Seorang bekas Menteri Luar ketika bermulanya Revolusi Islam pada 1979, Ebrahim Yazdi, ditahan di rumahnya awal hari ini, lapor laman web berita Rahesabz.

Yazdi yang merupakan setiausaha agung Pergerakan Pembebasan Iran yang telah diharamkan, namun diberi kelonggaran, dibawa ke sebuah tempat yang tidak dikenali oleh ejen keselamatan. – AFP

No comments:

Post a Comment