KUALA LUMPUR 28 Nov. - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah dalam kesusahan kerana menunggu proses perceraian, seorang wanita Cina mualaf yang ingin mengadu nasib ke sebuah persatuan persendirian menjadi mangsa rogol pula.
Lebih kejam, mangsa yang berusia 28 tahun, bukan sahaja dirogol sebanyak dua kali malah turut dikurung dan dipukul oleh presiden persatuan Cina mualaf itu sendiri.
Kisah malang mangsa bermula pada 20 November lalu, apabila dia cuba meminta bantuan daripada persatuan itu untuk mendapatkannya pekerjaan.
Berikutan itu, mangsa bersama seorang anak perempuannya berusia lapan tahun telah pergi ke pejabat persatuan berkenaan di sebuah kondominium di Pandan Indah.
Mangsa memeluk Islam selepas berkahwin dengan lelaki Melayu sembilan tahun lalu namun kerana tiada lagi persefahaman, kedua-duanya kini dalam proses bercerai.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, suspek telah berjanji akan membantu wanita itu untuk mendapatkan pekerjaan dan memujuknya bermalam di rumahnya.
Katanya, suspek juga menasihatkan mangsa supaya tidak bimbang kerana kononnya ibunya berada di rumah.
"Mendengar penjelasan itu, mangsa yang tidak menyangka niat buruk di sebalik pujukan itu terus bersetuju untuk bermalam di rumah suspek," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid Bukit Antarabangsa di sini hari ini.
Sebanyak 14 ekor lembu disembelih yang kemudian diagih-agihkan kepada kira-kira 1,000 penduduk setempat dan anggota polis.
Abdul Jalil berkata, suspek kemudiannya bertindak ganas apabila mengurung dan memukul mangsa sebelum dijadikan tempat 'pemuas nafsu'.
Katanya, namun perbuatan suspek terbongkar pagi semalam apabila meninggalkan mangsa dan anaknya dalam keadaan rumahnya terkunci untuk ke masjid bagi mengerjakan solat sempena Hari Raya Aidiladha.
"Mangsa mengambil kesempatan itu untuk menjerit meminta tolong daripada jiran-jiran. Melihat keadaan mangsa itu salah seorang daripada mereka menghubungi polis.
"Polis kemudian memecah masuk rumah tersebut dan berjaya menyelamatkan mangsa dan anaknya," tambah beliau.
Katanya, ketika ditemui, mangsa dalam keadaan lemah dan mengalami lebam-lebam di anggota badannya kemungkinan dipukul untuk melakukan seks.
Katanya lagi, mangsa turut diugut bunuh serta diacukan pisau oleh suspek sekiranya tidak mahu bekerjasama atau cuba membuat kecoh.
"Berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa disahkan dirogol," katanya.
Susulan daripada itu, Abdul Jalil berkata, pihaknya berjaya menahan suspek di Hentian Pudu Raya di sini, kira-kira pukul 2 petang pada hari sama, dipercayai cuba melarikan diri selepas mengetahui polis menyerbu rumahnya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal, suspek berusia 38 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes ugut, pukul dan curi.
Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 342 kanun yang sama kerana mengurung secara salah.
Menurutnya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini.
Sehubungan itu Abdul Jalil meminta orang ramai yang mempunyai masalah agar berurusan dengan persatuan kebajikan di bawah naungan kerajaan dan bukannya mana-mana persatuan persendirian. - Utusan
* Memalukan sungguh...
No comments:
Post a Comment