HULU SELANGOR 4 Nov. - Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pengambilan deposit pelaburan secara haram selepas menemui wang tunai berjumlah RM600,000 dalam kenderaan mewah jenis Jaguar yang dinaiki mereka malam tadi.Ketiga-tiga lelaki itu yang berusia antara 29 hingga 37 tahun ditahan ketika berhenti berhampiran sebuah restoran di Bukit Sentosa di sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Hasil pemeriksaan polis, kesemua mereka gagal memberi penjelasan mengenai wang tunai yang ditemui dalam sebuah beg.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Supritendan Norel Azmi Affandi Yahya berkata, polis turut menemui dua buah beg yang mengandungi sejumlah 21 fail dalam bonet belakang kenderaan berkenaan.
Hadir sama Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Hulu Selangor, ASP Mohd. Yatim Osman.
Norel Azmi berkata, fail-fail tersebut mengandungi senarai kira-kira 500 butiran peribadi individu yang dipercayai telah membuat pelaburan dengan suspek.
"Suspek ketika disoal siasat mengaku telah mengambil deposit daripada pelaburnya dan kita percaya wang tunai itu adalah hasil kutipan deposit pelaburan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor hari ini.
Beliau berkata, suspek juga dipercayai cuba menyamar sebagai penjawat awam berdasarkan beberapa pelekat polis dan tentera yang ditemui pada cermin depan kereta.
Katanya, kereta mewah berkenaan didaftarkan atas nama isteri salah seorang suspek.
Menurut beliau, suspek dipercayai mencari pelabur di kalangan pelbagai lapisan masyarakat dengan menawarkan pulangan lumayan iaitu RM300 untuk setiap pelaburan bernilai RM1,000 setiap bulan.
Katanya, polis percaya kumpulan ini sudah bergiat aktif sejak 2004 dan mereka menawarkan skim pelaburan itu kepada golongan profesional, penjawat awam dan pelajar.
"Kita akan merujuk kes ini kepada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman untuk siasatan lanjut sekiranya ada di kalangan pelabur yang memuat laporan terhadap skim pelaburan kumpulan ini.
"Ketiga-tiga suspek kini direman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 29(1) Kanun Keseksaan kerana gagal menjelaskan sebab pemilikan wang yang ditemui dan Seksyen 170 Kanun yang sama kerana menyamar sebagai penjawat awam," katanya. - Utusan
No comments:
Post a Comment