05 November 2009

BN terima keputusan ROS sahkan kedudukan Soi Lek

KUALA LUMPUR 4 Nov. – Barisan Nasional (BN) menerima keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang mengesahkan kedudukan Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai Timbalan Presiden MCA.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, keputusan ROS itu sah di sisi undang-undang.

Menurutnya, keputusan itu mengambil kira Perlembagaan MCA bahawa terdapat fasal memerlukan suara dua pertiga perwakilan bagi membuang individu sama ada yang dilantik atau dipilih.

Tambah beliau, prinsip sama digunakan ROS bagi mengekalkan kedudukan Datuk Seri Ong Tee Keat sebagai Presiden MCA.

“Prinsip ini harus seragam dan tidak boleh bercanggah.

“MCA membuat keputusan berdasarkan kepada sebahagian daripada peruntukan perlembagaan parti itu manakala ROS menterjemahkan dan bertindak berdasarkan kepada situasi semasa parti itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan buku Laporan Tahunan 2008 Perusahaan Kecil dan Sederhana di bangunan Parlimen hari ini.

Menjawab soalan sebagai Pengerusi BN adakah beliau menerima keputusan itu, Najib berkata, ia sebahagian jalan penyelesaian kemelut dalaman MCA.

“Bahagian pertama mesti sah di sisi undang-undang dan ia telah dilaksanakan. Bahagian kedua pula secara politiknya mesti berhemah, bijaksana dan betul, inilah yang paling sukar dan mencabar.

“Pemimpin MCA perlu turun ke bawah, bertemu ahli akar umbi untuk menerangkan dan meyakinkan mereka mengenai perkara sebenar, bagi saya setiap kemelut memerlukan kebenaran dari segi undang-undang dan pendekatan politik,” katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment