09 November 2009

Thaksin mula tugas baru minggu ini

PHNOM PENH 8 Nov. - Bekas Perdana Menteri Thailand yang digulingkan, Thaksin Shinawatra (gambar) akan melawat Kemboja pada minggu ini bagi memulakan peranan barunya sebagai penasihat kewangan kerajaan negara itu, kata Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.

"Thaksin akan berada di Kementerian Ekonomi dan Kewangan pada 12 November ini untuk memberi penerangan ringkas kepada 300 orang pakar ekonomi Kemboja," kata Hun Sen pada satu sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh.

Lawatan itu sudah tentu akan meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara yang semakin 'panas' sejak Kemboja mengumumkan pelantikan Thaksin sebagai penasihat ekonomi negara itu pada Rabu lalu.

Kemboja dan Thailand pada Khamis lalu memanggil pulang duta masing-masing dan Bangkok memberi amaran pada Jumaat lalu yang ia akan menutup sempadannya dengan Kemboja.

"Kalau anda mahu menutupnya, tutuplah. Kerugian ditanggung bersama-sama. Sekiranya Thailand mahu menutup sempadan, Kemboja akan mengikutnya. Sekiranya Thailand menutup sempadan, semua perdagangan antara kedua-dua negara terputus," kata Hun Sen, sambil menambah kata bahawa Thailand lebih banyak mengalami kerugian jika tindakan itu dilakukan.

Hun Sen turut mengumumkan bahawa beliau akan memanggil pulang unit elit separa tentera dari kawasan pertikaian dekat Kuil Preah Vihear, di mana askar Thai dan Kemboja ditempatkan sejak berlaku beberapa pertempuran kecil sejak Julai tahun lalu. - AFP

No comments:

Post a Comment