09 November 2009

Pasukan khas SPRM disokong

KUALA LUMPUR 8 Nov. - Penubuhan pasukan khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menangani kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di kalangan wakil rakyat mendapat sokongan Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Namun, mereka menyatakan harapan supaya ia dilakukan secara telus tanpa memilih latar belakang parti politik selain tidak disalahgunakan oleh mana-mana pihak untuk 'membunuh' karier wakil rakyat tertentu.

Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Idris Haron berkata, penubuhan pasukan itu membuktikan kerajaan amat serius untuk menerapkan nilai-nilai integriti di kalangan pemimpin.

Menurutnya, bagi memberi keadilan kepada semua wakil rakyat, mereka perlu diberi pendidikan mengenai bentuk-bentuk kesalahan terlebih dahulu.

Katanya, satu mekanisme khas siasatan mesti diperkenalkan bagi memastikan ia tidak disalahgunakan.

"Kalau seseorang membuat aduan yang secara jelas menunjukkan niatnya yang sekadar untuk mencemarkan imej wakil rakyat, mereka juga wajar dikenakan tindakan.

"Tindakan terhadap wakil rakyat mestilah bersifat pembetulan kerana bukan semua wakil rakyat arif dalam proses perolehan dan pembelian," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pasukan khas itu akan dikendalikan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan SPRM dan akan menjalankan kajian menyeluruh berhubung peraturan, sistem dan prosedur serta kawalan dalaman perbelanjaan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen bagi menutup ruang berlaku jenayah rasuah.

Sementara itu Ahli Parlimen Kepong, Dr. Tan Seng Giaw berkata, secara prinsip beliau bersetuju dengan langkah terbaru SPRM itu bagi memastikan akhlak dan moral pemimpin selari dengan sasaran untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Jelasnya, pemantauan rapi SPRM akan memberi kesedaran kepada wakil rakyat bahawa tugas utama mereka ialah untuk memberi perkhidmatan bukannya mengumpul kemewahan untuk diri sendiri.

"Membanteras rasuah bukan hanya sekadar di bibir, ia mesti dilaksanakan tanpa mengira sesiapa baik dari Barisan Nasional (BN), DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas mahupun saya sendiri," katanya.

Mengulas perkara yang sama, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar menyambut baik penubuhan pasukan khas tersebut.

Namun tegasnya, ia mesti beroperasi secara telus bagi memastikan ia tidak bertindak hanya selepas mendapat arahan menteri.

Bagaimanapun, lain pula dengan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua yang menganggap SPRM terlebih dahulu harus meyakinkan semua pihak bahawa mereka akan bertindak secara bebas.

Beliau mendakwa penubuhan pasukan itu adalah usaha untuk mengalihkan perhatian rakyat kerana sebelum ini SPRM telah memberi tumpuan berlebihan kepada ADUN di Selangor sahaja. - Utusan

No comments:

Post a Comment