30 November 2009

Selangor rancang adakan forum isu BTN

PETALING JAYA 30 Nov. — Kerajaan Selangor akan menganjurkan satu forum awam yang akan membincangkan isu mengenai kursus-kursus yang disediakan oleh Biro Tata Negara (BTN), dalam usaha memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai keputusannya mengharamkan program itu kepada para petugas kerajaan negeri, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, beliau memutuskan untuk mengadakan forum itu selepas menerima kritikan daripada beberapa pihak seperti pemimpin-pemimpin Umno dan menteri-menteri kabinet, ekoran tindakan kerajaan negeri menghalang para petugasnya daripada menjalani kursus yang disediakan BTN.

Beliau berkata, bekas peserta, pensyarah dan juga penganjur program-program BTN akan dijemput untuk memberikan pandangan mereka dalam forum itu nanti, dalam usaha menentukan sekiranya langkah pengharaman oleh kerajaan negeri itu adalah tepat atau sebaliknya.

"Sekiranya kerajaan pusat cuba mengharamkan forum ini, ia bermakna memang ada sesuatu yang tidak kena,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai ”Urban Regeneration” di sini hari ini.

Rabu lepas Pengerusi jawatankuasa tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia Selangor Dr. Halimah Ali berkata petugas kerajaan negeri Selangor serta para pelajar institusi pengajian milik kerajaan negeri tidak dibenarkan menjalani kursus-kursus BTN berkuatkuasa serta merta. - Bernama

No comments:

Post a Comment