KOTA BHARU 29 Nov. - Tindakan dua lelaki yang cuba meragut rantai leher seorang kanak-kanak perempuan akhirnya memakan diri sendiri apabila mereka dibelasah penduduk kampung yang melihat kejadian itu.
Dalam kejadian pukul 5.15 petang di Kampung Belimbing Pendek, Kedai Mulong semalam, salah seorang daripada peragut itu turut dibogelkan penduduk kampung yang berang dengan tindakan penjenayah itu yang dipercayai penagih dadah.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, kedua-dua lelaki yang berusia lingkungan 20-an dan menaiki motosikal Yamaha LC cuba meragut rantai yang dipakai kanak-kanak perempuan terbabit tetapi disedari bapanya, Mohamed Jumain Mohamed.
"Salah seorang daripada mereka ditangkap oleh bapa mangsa sendiri manakala rakannya pula ditahan oleh penduduk kampung.
"Kedua-dua mereka kemudian dipukul oleh penduduk kampung sehingga tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II," katanya di sini hari ini.
Zaharuddin berkata, ketika ditahan kedua-dua mangsa tidak membawa pengenalan diri dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.
Sementara itu, Mohamed Jumain yang pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halamannya terkejut melihat dua pemuda berkenaan mendekati anaknya yang berada di tepi jalan berdekatan rumahnya.
"Ketika kejadian, anak perempuan saya yang berusia lima tahun menuju ke rumah datuknya untuk mengajaknya beraya di rumah bapa saudara.
"Semasa anak saya berjalan kaki, saya memerhatikannya dan ternampak dua pemuda menaiki motosikal menghampiri anak saya dan cuba meragut rantai lehernya," katanya.
Menurut Mohamed Jumain, dia kemudian segera berlari arah anaknya dan bergelut dengan pemuda berkenaan.
Penunggang motosikal itu, katanya, berjaya ditangkap namun pemboncengnya melarikan rantai tersebut ke kampung lain. - Utusan
No comments:
Post a Comment