29 November 2009

Saya kenal ‘Kolonel Mat’ – Kickdefella

KOTA BHARU 28 Nov. - Persoalan siapakah ‘Kolonel Mat’ yang didakwa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertanggungjawab merancang untuk menjatuhkan beliau dan Kerajaan Pas Kelantan masih menjadi teka-teki sama ada ia benar-benar wujud atau sekadar direka-reka.

Di saat semua pihak mencari siapakah ‘Kolonel Mat’, blogger Kickdefella atau Syed Azidi Syed Abdul Aziz membuat kejutan apabila mendakwa mengenalinya.

Bagaimanapun bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu tidak menjelaskan sama ada ia individu yang sama atau tidak dengan apa yang dikatakan oleh Mursyidul Am Pas itu.

Syed Azidi ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, persoalan mengenai siapa ‘Kolonel Mat’ perlu dirungkai oleh Nik Abdul Aziz sendiri kerana tiada siapa yang mengetahui individu terbabit kerana ia muncul secara tiba-tiba.

“Seperti yang saya tulis dalam blog, ‘Kolonel Mat’ yang saya kenali ialah arwah ayah saya tetapi mungkin apa yang dikatakan oleh tok guru (Nik Abdul Aziz) adalah individu yang berbeza.

“Artikel itu ditulis sebab sebagai anak bekas tentera saya terasa kerana apa yang dikatakan oleh tok guru amat serius disebabkan ia satu cubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Saya tidak ambil ini sebagai peribadi tetapi saya rasa satu penghinaan kepada tentera atau bekas tentera, jadi tok guru kena jelaskan dan pada masa yang sama Menteri Pertahanan kena siasat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa wujud konspirasi yang didalangi ‘Kolonel Mat’ untuk menjatuhkannya dan kerajaan Pas Kelantan.

Syed Azidi yang dipecat oleh menantu Nik Abdul Aziz daripada jawatannya kerana didakwa membuat ‘fitnah’ baru-baru ini berkata, Nik Abdul Aziz perlu bertanggungjawab atas kenyataannya itu kerana pelbagai pihak di seluruh negara mahu mengetahui siapakah ‘Kolonel Mat’.

“Tok guru selalu lempar (kenyataan) tetapi dia suruh orang tolong jawab, orang lain kena baiki untuk dia, satu Malaysia hendak tahu harap tok guru tidak akan mengecewakan kita,” katanya.

Mengulas mengenai arwah bapanya yang dikenali dengan ‘Kolonel Mat’ itu, katanya, bapanya telah menyertai Pas ketika di penghujung usianya.

“Ayah saya sudah meninggal dunia, di hujung hidup dia menjadi ahli Pas seumur hidup dan sangat menyanjungi Nik Abdul Aziz.

“Tetapi sebelum itu, ayah saya tidak terlibat dalam politik, apabila menjadi ahli Pas, arwah banyak membantu menyediakan Pas dari segi kursus perang saraf dan strategi bersama rakan-rakan bekas tenteranya,” katanya.

Dalam tulisannya dalam blog tersebut, Syed Azidi menjelaskan ‘Kolonel Mat’ ialah anak kepada Allahyarham Abid Razak yang pernah menjadi dresser di Hospital Besar Kota Bharu.

Berikut sebahagian tulisannya: “Kolonel Mat menyertai tentera sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Selepas menerima tauliah pelantikan, Kolonel Mat pulang ke Kelantan mengahwini anak sepupu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang bernama Tuan Bidah Tuan Long. Waktu itu Nik Abdul Aziz dikenali dengan panggilan Ayah Zit oleh saudara mara.

“Sewaktu lahir, beliau diberi nama Syed Abdul Aziz tetapi di kalangan saudara mara terutama sekali di kalangan keluarga sebelah ibu saya yang dari keturunan Raja Jembal, Syed Abdul Aziz dikenali dengan nama Syed Amat.

“Mungkin sebab beliau anak lelaki sulung, jadi di kampung yang sulung dipanggil Mat, kalau peringkat dewasa akan dipanggil Ayah Mat.

‘‘Pangkat tertingginya di dalam angkatan tentera ialah sebagai Leftenan Kolonel. Walaupun beliau tidak pernah diangkat ke pangkat Kolonel penuh, tetapi menjadi lumrah Leftenan Kolonel akan dipanggil Kolonel sahaja. Jadi di kampung, bagi orang yang kurang mesra dengannya, Syed Amat tadi disebut sebagai Kolonel Mat.” - Utusan

* Siapa yang makan cili, dia yang merasa pedas.

No comments:

Post a Comment