10 November 2009

Pengurusan kes saman Anwar terhadap Mohd. Saiful 28 Januari

KUALA LUMPUR 9 Nov. - Pengurusan kes saman Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan atas dakwaan berniat jahat kerana membuat laporan polis berhubung tuduhan diliwat, ditetapkan pada 28 Januari depan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Anisah Normah Muhammad Nor menetapkan tarikh itu di kamar beliau selepas kes itu disebut di hadapannya hari ini.

Pada 30 Jun tahun lalu, Anwar yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) memfailkan saman terhadap Mohd. Saiful dengan mendakwanya membuat laporan polis itu untuk satu sebab tersembunyi, di samping memburukkan dan merosakkan dirinya sebagai ahli politik.

Anwar, 62, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa Mohd. Saiful, 24, tahu bahawa dakwaan liwat itu adalah palsu namun bekas pembantunya itu tetap membuat laporan polis pada 28 Jun tahun lepas.

Anwar mendakwa akibat laporan polis itu, reputasinya terjejas dan beliau mengalami penderitaan dan malu yang teramat sangat.

Mohd. Saiful dalam pernyataan pembelaan yang difailkan Mei lalu berkata, laporan polis itu adalah bersifat wajar dan sekiranya tidak benar, pihak pendakwaan tidak akan mendakwa Anwar terhadap tuduhan liwat itu.

Pada 7 Ogos tahun lepas, Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan meliwat Mohd. Saiful dan beliau dibebaskan dengan jaminan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Kes liwat itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 23 November ini di Mahkamah Tinggi. Perbicaraan kes itu pada mulanya ditetapkan 1 Julai hingga 23 Julai lepas, tetapi mahkamah menangguhkan bagi membolehkan mahkamah mendengar beberapa permohonan yang difailkan Anwar berhubung kes itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment