KUANTAN 9 Nov. - Selepas tertangguh ekoran kegagalan peguam belanya hadir di Mahkamah Tinggi di sini minggu lalu, akhirnya kes seorang pemandu lori yang didakwa mengedar syabu bernilai kira-kira RM254 juta disebut hari ini.
Lee Yong Toe, 48, (gambar) dari Taman Iskandar, Johor Bahru didakwa mengedar syabu seberat 753,359 gram bernilai kira-kira RM254 juta bersama seorang lagi yang masih bebas di Kilometer 3, Jalan Cenderawasih, Rompin pada pukul 6.45 pagi, 2 Mei lalu.
Yong Toe yang berpakaian serba putih mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Pindaan 1998) yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mariana Yahya menetapkan perbicaraan bermula 5 hingga 16 April tahun depan.
Beliau turut menetapkan 7 Disember ini untuk sebutan bagi membolehkan tertuduh yang diwakili peguam J. Kuldeep Kumar mengemukakan permohonan melantik dua lagi peguam bela.
Kuldeep tidak hadir minggu lalu kerana mendakwa tidak menerima notis mahkamah.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Khalmizah Salleh memberitahu, pihaknya akan mengemukakan sekurang-kurangnya 15 saksi sepanjang perbicaraan kes tersebut.
Khalmizah turut dibantu oleh seorang lagi Timbalan Pendakwa Raya, Heng Yen Loo.
Kes rampasan syabu itu mendapat liputan meluas media kerana dikatakan yang terbesar di negara ini.
Kes itu juga mendapat perhatian apabila kehadiran tertuduh ke mahkamah sentiasa dikawal ketat oleh sepasukan polis yang lengkap bersenjata. - Utusan
* Kalau dadah itu dia punya, tidaklah dia jadi pemandu lori.
No comments:
Post a Comment