12 November 2009

Penembak curi jalani suntikan maut

WASHINGTON 11 Nov. - Penembak curi yang membunuh 10 orang di sekitar Washington dan meletakkan penduduk di ibu negara Amerika Syarikat (AS) ini dalam keadaan ketakutan selama tiga minggu pada 2002, menjalani hukuman mati melalui suntikan maut, malam tadi.

John Allen Muhammad, 48, memasuki bilik hukuman mati dengan bantuan pengawal penjara, tanpa memberikan penjelasan terakhir mengenai pembunuhan rambang itu, sebelum diberi suntikan yang membawa kematiannya.

"Saya tidak mendengar dia menyuarakan sepatah perkataan pun," kata jurucakap penjara, Larry Taylor.

Muhammad disahkan mati pada pukul 9.11 malam (10.11 pagi ini waktu Malaysia), lima minit selepas pihak berkuasa di pusat penjara Greensville, Virginia mula menyuntik pelbagai jenis dadah pembawa maut ke dalam tubuhnya dengan disaksikan oleh anggota keluarga mangsa.

Sebelum itu, Gabenor Virginia, Tim Kaines menolak rayuan pengampunan daripada Muhammad.

Kaines membuat keputusan itu hanya beberapa jam selepas Mahkamah Agung AS menolak rayuan pada saat-saat akhir daripada pasukan peguam pesalah tersebut yang mendakwa dia menghidapi penyakit mental dan tidak wajar dijatuhi hukum mati.

Muhammad dan rakan subahatnya, Lee Boyd Malvo yang terlepas daripada hukuman mati kerana berusia 17 tahun semasa siri keganasan itu menembak mati seorang mangsa di Washington, tiga di Virginia dan enam di negeri Maryland.

Motif pembunuhan itu tidak jelas, sekalipun bekas isteri kedua Muhammad mendakwa dialah sasaran sebenar kerana lelaki itu mahu menuntut balik hak penjagaan ke atas tiga anak mereka.

Semasa mengganas antara 2 hingga 22 Oktober, 2002, Muhammad yang mahir menggunakan senjata api, secara sewenang-wenangnya memilih mangsa dengan menggunakan raifal penembak curi yang dilengkapi teropong.

Pembunuhan rambang itu menimbulkan ketakutan di kalangan penduduk di kawasan yang masih dihantui serangan 11 September dan penyebaran bakteria antraks menerusi mel, setahun sebelumnya.

Muhammad membunuh setiap mangsanya dengan satu tembakan dari jarak jauh dan ditangkap selepas operasi pemburuan besar-besaran oleh polis persekutuan dan tempatan. - AFP

No comments:

Post a Comment