Kejadian berlaku ketika pengarah perhubungan awam ke tempat kerja
PESHAWAR: Sekumpulan lelaki bersenjata menembak mati seorang warga Pakistan yang bekerja di Konsulat Iran dalam perjalanan ke pejabatnya di Peshawar semalam, kata polis.
Pegawai kanan polis, Nisar Marwat, berkata pengarah perhubungan awam dan protokol Konsulat di Peshawar, Abu Hasan Jaffry, ditembak dari jarak dekat ketika beliau memandu keretanya.
Rakaman siaran televisyen menunjukkan tembakan peluru menyebabkan tayar kereta Suzuki Cultus yang dipandu Abu Hasan, pancit manakala serpihan kaca tingkap kenderaan itu bertaburan di atas jalan.
Marwar berkata, Abu Hasan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Motif pembunuhan belum diketahui.
Pegawai keselamatan berkata pihaknya mengesyaki suspek bertanggungjawab adalah anggota kumpulan sama yang mendalangi penculikan diplomat Iran dan bakal duta Afghanistan tahun lalu, selain pembunuhan seorang pekerja pembangunan Amerika.
Saksi dan rakannya berkata Abu Hassan berusia 50-an dan mempunyai seorang anak, ditembak di jalan utama sejurus meninggalkan rumahnya di kejiranan Gulberg di Peshawar.
"Saya mendengar bunyi tembakan secara tiba-tiba dan apabila tiba di jalan utama saya nampak Abu Hasan berlumuran darah, manakala penembaknya kemungkinan besar lebih daripada seorang sudah melarikan diri.
"Abu Hassan ditembak di kepala dan dada, manakala tangan kirinya cedera parah," kata saksi itu yang enggan mendedahkan namanya.
Pakistan menjalin hubungan baik dengan Iran tetapi ketegangan bermula bulan lalu, apabila Teheran menyalahkan militan yang berpangkalan di negara itu berikutan satu serangan bunuh diri yang menyebabkan 42 orang maut termasuk 15 anggota Pasukan Pengawal Revolusi. - AFP
No comments:
Post a Comment