13 November 2009

Keganasan Pakistan seperti Zaman Darurat

RAWALPINDI: Pakistan menyifatkan keganasan yang melanda beberapa bandar utamanya sebagai sama seperti waktu gerila komunis mengancam Tanah Melayu, khususnya dari segi taktik dan matlamat penyerang.

Serangan dilakukan termasuk menyebabkan kematian orang awam, turut membabitkan serangan terhadap tentera dan polis bertujuan mewujudkan rasa takut di kalangan penduduk selain mencetuskan huru-hara, kata jurucakap tenteranya, Mejar Jeneral Athar Abbas kepada media Malaysia di sini.

Beliau juga merujuk kepada pembabitan agensi perisikan asing selain mengesyaki India dalam keganasan militan yang meragut lebih 200 orang awam Pakistan serta anggota keselamatan lebih sebulan lalu.

"Keganasan di bandar utama Pakistan bertujuan menunjukkan keadaan dalaman lemah dari segi keselamatan, hampir sama seperti tempoh darurat di negara kamu pada 1948 hingga 1960.

"Bandar ditakrifkan sebagai sasaran 'lembut' kerana penyerang sedar wujud kelemahan kawalan keselamatan di sana," katanya.

"Mereka boleh lancar serangan besar-besaran untuk membunuh bertujuan mewujudkan ketakutan di kalangan orang awam bagi meningkatkan tekanan terhadap kerajaan.

"Matlamat mereka ialah mewujudkan ketakutan dan seterusnya memastikan keadaan huru-hara," kata Athar mengenai serangan ala gerila di bandar utama Pakistan.

Bermula dengan serangan terhadap pejabat Program Makanan Dunia (WFP), militan seterusnya mengebom universiti, ibu pejabat tentera, pasar dan sekatan polis di bandar utama termasuk Lahore dan ibu negara, Islamabad.

Tentera Pakistan melancarkan operasi besar-besaran membabitkan 30,000 anggota tentera terhadap militan di Waziristan Selatan sejak 17 Oktober lalu dan berjaya membunuh lebih 500 musuh manakala hampir 50 askar maut.

Menjelaskan minda penyerang, beliau berkata, berbeza dengan anggota keselamatan, militan sedar pihak polis dan tentera tidak akan dapat melindungi setiap bangunan dan orang awam negara itu.

"Mereka boleh lakukan satu serangan saja dan ia akan dikira kejayaan 100 peratus jika dapat dilakukan untuk menambah kekusutan," katanya.

Pada masa sama, beliau menekankan, serangan militan di bandar utama itu juga membolehkan pihak berkuasa keselamatan membongkar banyak rangkaian pengganas dan tertangkapnya samai suspek serangan bunuh diri.

Serangan yang berlanjutan lebih sebulan lalu itu menyebabkan anggota perisikan Pakistan mampu membuat jangkaan lokasi serangan sekali gus membantu pihak polis dan tentera menyekat serangan lebih awal, katanya tanpa mendedahkan berapa ramai suspek yang sudah ditahan. - Bharian

* Salah sendiri kerana sarang tebuan dijolok.

No comments:

Post a Comment