KUALA LUMPUR 6 Nov. — Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan Khamis depan untuk mendengar permohonan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail untuk semakan kehakiman terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengekalkan Datuk Abu Hassan Sarif sebagai wakil rakyat Kota Siputeh.
Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan tarikh tersebut selepas peguam kedua-dua pihak meminta mahkamah mendengar dan menyelesaikan kes itu sebelum sidang DUN Kedah bermula 17 November ini.
Peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili Abu Hassan dalam hujahnya berkata, nasib anak guamnya berada di hujung tanduk apabila Speaker tidak lagi mengiktiraf Abu Hassan sebagai wakil rakyat dan dia dilarang menghadiri sidang DUN itu.
"Semalam, Speaker menghantar surat kepada anak guam saya dengan memaklumkan bahawa dia tidak diiktiraf sebagai wakil rakyat Kota Siputeh kerana alasan yang tercatat dalam permohonan semakan kehakiman.
"Isu ini perlu diperjelaskan dan kami akan memfailkan afidavit kami secepat mungkin,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment