24 November 2009

Kes Liwat: Saiful Nafi Ditawar RM5 Juta

PETALING JAYA: Kes tuduhan liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus menimbulkan kontroversi apabila wujud pula dakwaan yang mengatakan beliau menawarkan wang sejumlah RM5 juta kepada pengadu kes berkenaan, Mohd Saiful Bukhari Azlan supaya menarik kembali dakwaannya.

Beberapa laman blog hari ini menyiarkan dakwaan yang mengatakan Anwar telah mengarahkan ahli perniagaan, Datuk Soh Chee Wen untuk mengadakan perbincangan dengan Mohd Saiful berhubung perkara berkenaan.

Berdasarkan tulisan dalam blog berkenaan juga dinyatakan bahawa Soh telah menggunakan sepupu Saiful sebagai 'jambatan' untuk berhubung dengan bekas pembantu Anwar itu bagi menawarkan sebanyak RM5 juta untuk menarik balik kes tersebut.

Bagaimanapun peguam yang mewakili Saiful, Zamri Idrus menafikan mengenai perkara itu.

"Tidak... tidak benar, saya beri jaminan tiada sebarang tawaran dibuat kepada Saiful.

"Perkara ini langsung tidak benar. Saiful tetap dengan pendiriannya dalam kes ini," katanya kepada mStar Online.

Menurut Zamri, beliau yakin perkara ini sengaja dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengeruhkan keadaan.

"Saya sendiri tak pasti bagaimana perkara ini boleh timbul, tapi apa yang pasti ia memang tidak benar... mungkin ia sengaja dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab," tegasnya.

Ditanya sama ada Saiful sudah mengetahui mengenai perkara ini, Zamri berkata: "Ya, Saiful juga menyedari mengenai artikel berkenaan, dia sudah baca... malah dia sendiri terkejut dengan kenyataan itu."

Anwar dituduh meliwat bekas Mohd Saiful, 23 di Unit 11-5-1, Desa Damansara Condominium, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun tahun lalu.

Jika sabit kesalahan, Anwar, 62, boleh dipenjara sehingga 20 tahun di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan. Beliau kini bebas dengan ikat jamin seorang penjamin sebanyak RM20,000. - Mstar

No comments:

Post a Comment