24 November 2009

Bernama TV lebih berdaya maju

Bernama TV akan menjadi satu entiti yang lebih berdaya maju di bawah pengurusan baru yang mengambil alih operasi saluran
berita 24 jam itu, kata timbalan menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan.

Datuk Joseph Salang Gandum memberitahu Dewan Rakyat hari ini bahawa beberapa perubahan dan pembaharuan bakal dilakukan bagi menarik lebih ramai pengiklan membeli masa siaran di Bernama TV.

Katanya, pemegang saham terbesar Bernama TV kini ialah Ancom Bhd, yang mempunyai kaitan dan jaringan dengan akhbar The Malay Mail, dan syarikat itu diharap mampu menjayakan saluran televisyen 24 jam itu supaya tidak tenggelam dalam hutang.

"Dengan kekukuhan kewangan, entiti ini akan lebih fleksibel menayangkan apa yang perlu untuk membina masyarakat di Malaysia dan negara kita," katanya ketika menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) yang meminta menteri penerangan, komunikasi dan kebudayaan menyatakan peranan Bernama TV sebagai suara kerajaan bagi menjayakan agenda pembangunan dan perpaduan, khususnya mengembangkan gagasan IMalaysia.

Beliau berkata Bernama TV menyediakan satu lagi saluran tambahan selain TV3 dan RTM serta mengisi kekosongan yang memberikan berita dan informasi terkini selama 24 jam kepada rakyat.

Salang Gandum berkata Bernama TV mencipta niche atau kelebihan tersendiri kerana ia merupakan satu-satunya saluran yang menyediakan berita 24 jam atau back-to-back.

"Masyarakat kini mahukan informasi atau berita yang tepat dan cepat. Melalui Bernama TV, mereka tidak perlu menunggu waktu tertentu untuk mendapatkan berita terkini," katanya.

Beliau berkata Bernama TV turut menjayakan agenda pembangunan, menyeimbang serta memperkukuhkan gagasan 1Malaysia selain menyiarkan berita-berita yang benar, sahih, telus dan terkini.

"Berita-berita yang sensasi dan provokasi tidak akan diberi ruang kerana ia akan menjejaskan matlamat 1Malaysia," katanya lagi.

Salahuddin Ayub (PAS-Kubang Kerian) pula bertanyakan mengapa Bernama TV mengalami kerugian.

Beliau juga berkata saluran Astro Awani adalah lebih proaktif, ceria dan terbuka selain dilihat sebagai memberi lebih ruang serta peluang kepada sesuatu perkara berbanding Bernama TV.

Salang Gandum berkata Bernama TV mengalami kerugian kerana perlu membelanjakan RM1.5 juta sebagai kos operasi sebulan sedangkan pendapatan melalui iklan hanya RM150,000 sebulan.

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya percaya pemegang saham baru akan dapat "menceriakan lagi" Bernama TV.

"Saya percaya dengan agihan masa tayangan Bernama TV, akan menarik lebih ramai menonton, seterusnya pengiklan untuk menempah masa siaran...

"Sebelum ini, Bernama TV hanya menumpukan kepada berita dan bicarawara sahaja, tetapi kini tidak lagi... kita akan ada berita, bicarawara, fesyen, hiburan dan dokumentari yang menarik," katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment