20 November 2009

Kereta wartawan Harakah dipecah kali kedua, beg tangan pula hilang!

KUALA LUMPUR, 19 Nov: Genap seminggu kejadian kereta Iswara wartawan kanan Harakahdaily Azamin Amin dipecah, kali ini kejadian sama berlaku buat kali kedua!

Kali ini, dengan keadaan kereta berkunci dan isyarat penggera masih berbunyi, beg tangan kepunyaan isterinya hilang dipercayai dicuri.

Kejadian itu disedari ketika, Azamin dan isterinya selesai membeli belah di pasar malam Keramat, dekat sini kira-kira jam 6.30 petang dan kembali semula ke kereta yang diletakkan berhampiran kawasan rumah kediaman di situ.

"Anehnya, tiada sebarang kesan umpil atau pecah malah 'alarm' masih berfungsi tetapi bila kami tiba, beg tangan telah hilang," katanya memberitahu Harakahdaily.

Beg tangan tersebut telah diletakkan di bawah tempat duduk kereta sebelah pemandu dan agak terhalang daripada pandangan umum, katanya.

Antara barangan di dalam beg tangan tersebut ialah telefon bimbit, sejumlah wang tunai, kunci rumah dan pejabat dan beberapa barangan peribadi isterinya.

Azamin tidak menolak kemungkinan selain pecah dan curi, beliau telah diekori individu tidak dikenali.

"Kemungkinan itu ada. Kejadian pertama pun ada keraguan itu. Oleh sebab itu saya buat laporan.

"Jika benar andaian itu, saya perlu lebih utamakan keselamatan isteri dan anak-anak," katanya

Beliau telah membuat laporan polis di Balai Polis Setiawangsa pada petang yang sama dan telah dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul (IPD) - One Stop Centre, pada sebalah malamnya.

Khamis 12 November lalu, kereta Azamin telah dipecah kira-kira jam 2.45 petang di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Insiden tersebut disedari apabila beliau bersama-sama Wartawan Kanan Harakah, Wan Nordin selesai menjamu selera di sebuah restoran di kawasan berkenaan.

"Sebaik sampai ke kereta, cermin tingkap pecah dan but kereta telah dibuka...,"jelasnya semasa menghubungi pejabat Harakahdaily sebentar tadi.

Tambahnya, antara barang yang hilang adalah sebuah komputer riba berjenama F-Tec bersaiz mini, yang diletakkan dalam sebuah beg berwarna putih.

"Lebih merumitkan dalam beg berkenaan juga turut mengandungi kunci kereta Wan Nordin dan beberapa barangan peribadi,"katanya.

Orang ramai diminta berwaspada sekiranya dihampiri oleh individu yang mencurigakan dengan membawa beg putih, telefon bimbit dan cuba untuk menjual komputer riba berkenaan. Sekiranya berdepan dengan situasi tersebut, sila hubungi Azamin di talian; 0196479080 atau Wan Nordin; 0133376271. - Harakahdaily

No comments:

Post a Comment