22 November 2009

Enam ahli Umno bebas dengan jaminan

JOHOR BAHRU: Enam ahli Umno Bahagian Kota Tinggi yang ditangkap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor berhubung kes sogokan RM40,000 dibebaskan dengan masing-masing diikat jamin RM2,000 dan RM5,000 bersama seorang penjamin, petang kelmarin.

Mereka termasuk Ketua Pemuda Umno bahagian berkenaan serta seorang bekas Setiausaha Akhbar Menteri dibebas kira-kira jam 4.30 petang selepas diambil kenyataan berhubung kes cubaan menyogok RM40,000 kepada tiga ahli jawatankuasa (AJK) Pergerakan Pemuda Bahagian berkenaan yang meletak jawatan baru-baru ini.

Pengarah SPRM negeri, Simi Abdul Ghani, berkata tiga daripada mereka diikat jamin RM2,000 bersama seorang penjamin setiap seorang manakala tiga lagi masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

“Kami membebaskan semua suspek dan kini menyiapkan kertas siasatan. Kini kami mengambil kenyataan daripada saksi yang terbabit dalam kes itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ditanya bilangan saksi yang diambil kenyataan, Simi memberitahu, buat masa ini beliau tidak dapat mendedahkan jumlah sebenar saksi terbabit dalam kejadian itu kerana siasatan masih dilakukan.

Menurutnya, enam ahli parti terbabit dibenarkan ikat jamin selama sebulan dan mereka dijangka didakwa dalam tempoh berkenaan.

Simi berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 kerana memberi rasuah, di mana sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara hingga 20 tahun atau didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, Menteri Besar merangkap Pengerusi Perhubungan Umno negeri, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata beliau menyerahkan kepada SPRM yang mempunyai kuasa mutlak untuk bertindak terhadap ahli Umno terbabit mengikut kesalahan dilakukan.

Menurut beliau, tindakan itu membuktikan SPRM tidak pilih kasih dalam tindakannya, baik kepada ahli parti pembangkang mahupun daripada Barisan Nasional (BN). - Mymetro

No comments:

Post a Comment