25 November 2009

Belum ada pilihan raya kecil bagi DUN Kota Siputeh

PUTRAJAYA 24 Nov. – Pilihan raya kecil bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Kedah tidak perlu diadakan dalam tempoh terdekat.

Ia berikutan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang membenarkan penangguhan interim (sementara) yang dipohon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap pengosongan kerusi DUN itu sementara menunggu rayuan didengar pada tarikh lain.

Dengan keputusan saat akhir yang diumumkan pukul 7.30 malam ini, SPR tidak perlu mengemukakan writ Pilihan Raya Kecil DUN Kota Siputeh yang sepatutnya dikeluarkan selewat-lewatnya esok.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie membenarkan permohonan SPR setelah berpuas hati bahawa isu perlembagaan yang dihujahkan itu belum pernah dibangkitkan di mahkamah.

Keputusan sebulat suara itu turut dicapai oleh Hakim Datuk Kang Hwee Gee dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abd. Rahim.

Ketika membacakan keputusannya, Hakim Sulong menyatakan, isu yang timbul adalah sama ada kegagalan ADUN menghadiri dua sidang Dewan boleh menyebabkan kerusi DUN dikosongkan di bawah Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah (UTKNK).

Beliau turut menyatakan, persoalan undang-undang itu memerlukan tafsiran mendalam kerana ia melibatkan kepentingan dan polisi awam yang turut memberi kesan kepada perlembagaan negeri-negeri lain.

‘‘Kesahihan perintah pengosongan yang diisytiharkan oleh Mahkamah Tinggi itu perlu diuji di peringkat lebih tinggi kerana ia melibatkan tafsiran perlembagaan,’’ ujar beliau.

Hakim Sulong berkata, mahkamah mempunyai kuasa bagi mengeluarkan perintah penangguhan sementara di bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman untuk mengekalkan status quo rayuan yang akan didengar kelak.

Menurut beliau, penangguhan terhadap perintah pengosongan itu tidak akan menyebabkan prejudis kepada kedua-dua pihak selain mengelak daripada berlangsungnya pilihan raya yang tidak perlu dan hanya membazirkan wang rakyat.

Sehubungan itu, Hakim Sulong berpuas hati bahawa alasan implikasi kewangan yang dihujahkan oleh SPR boleh dikategorikan sebagai keadaan istimewa.

Sementara itu, panel serupa turut menolak dengan kos permohonan penyandang kerusi DUN Kota Siputeh, Datuk Abu Hassan Sarif untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Mereka memutuskan demikian setelah berpuas hati bahawa Abu Hassan tidak mempunyai hak tersebut ekoran kegagalannya membuat permohonan terdahulu ketika di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md. Said ketika berhujah mewakili SPR menyatakan, permohonan itu perlu dibenarkan bagi mengelakkan satu lagi pilihan raya kecil diadakan yang akan menelan perbelanjaan yang besar.

Beliau menyatakan, kos pilihan raya DUN Kota Siputeh yang lalu melibatkan peruntukan sebanyak RM200,000 dan ia menjadi sia-sia jika satu lagi pilihan raya kecil diadakan.

Peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Speaker DUN Kedah, Datuk Dr. Abdul Isa Ismail berhujah, permohonan SPR itu wajar ditolak kerana ia akan menyebabkan berlaku pelanggaran terhadap operasi perlembagaan kerana kerusi yang dikosongkan itu perlu diisi. - Utusan

* Habiskan wang rakyat atau takut wang Umno habis sebab nak beri rasuah pada pengundi.

No comments:

Post a Comment