26 November 2009

Anak geram ibu khalwat

MELAKA: Tidak sanggup melihat insan disayangi terus bergelumang dosa, seorang anak membulatkan tekad menahan ibu kandungnya selepas mengetahui wanita terbabit berkhalwat dengan seorang lelaki di rumahnya di pinggir bandar ini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, anak lelaki wanita terbabit yang berusia awal 20-an ke rumah sewa ibunya di bandar raya ini selepas mengesyaki ada lelaki datang ke rumah itu.

Difahamkan, selepas menunggu beberapa jam di luar rumah, teman lelaki ibunya masih tidak keluar menyebabkan anak wanita berkenaan curiga lalu menghubungi polis dan pegawai penguat kuasa agama di kawasan berkenaan supaya mengambil tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun, tanpa diduga beberapa minit selepas laporan dibuat, lelaki terbabit keluar dari rumah dan menyedari dia mahu beredar, anak wanita itu bersama beberapa rakannya menahannya.

Selepas menunggu beberapa minit, pegawai syarak yang diiringi anggota polis tiba di rumah berkenaan dan dimaklumkan mengenai penahanan lelaki berusia 39 tahun itu.

Pemeriksaan dalam rumah berkenaan menemui seorang wanita berusia 40-an.

Berdasarkan soal siasat, wanita dan lelaki terbabit mengakui berkurung dalam rumah itu.

Berikutan itu, mereka ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk tindakan lanjut.

Harian Metro difahamkan, lelaki terbabit sudah berumah tangga manakala wanita itu kini dalam proses perceraian dengan suaminya.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal terhadap rumah tempat pasangan terbabit ditahan ialah rumah sewa wanita berkenaan yang turut dikongsi bersama beberapa rakan lain.

“Ketika kejadian, wanita berkenaan yang juga pekerja industri hanya berseorangan di rumah, manakala rakannya keluar bekerja,” katanya di sini, semalam.

Rahimin berkata, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, kerana bersekediaman dengan bukan muhrim.

“Sabit kesalahan mengikut seksyen berkenaan, pasangan terbabit boleh didenda RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya,” katanya.- mymetro

No comments:

Post a Comment