26 November 2009

Akujanji ‘ikat’ guru

PUTRAJAYA: Bakal guru mungkin dikehendaki menandatangani surat akujanji sebagai syarat ‘mengikat’ mereka berkhidmat di mana-mana sekolah ditetapkan Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah kekurangan guru di kawasan pedalaman.

Malah, tindakan itu dilihat sebagai langkah terbaik untuk mengelakkan guru memohon pertukaran tempat mengajar sesuka hati tanpa alasan kukuh, walaupun baru beberapa bulan ditempatkan di sekolah ditetapkan kementerian.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pihaknya sedang menimbang mengenakan syarat akujanji sebelum bakal guru menamatkan pengajian sebagai janji menyatakan kesanggupan bertugas di mana-mana sekolah ditetapkan kementerian, tanpa berdolak-dalik.

“Akujanji akan dijadikan syarat utama. Apabila guru sudah menandatangani surat akujanji, bermakna dia sanggup mengajar di sekolah pedalaman dalam tempoh tertentu dan kita tidak akan melayan sebarang permohonan pertukaran kecuali ada kes kritikal seperti sakit dan sebagainya.

“Ini penting bagi mengelakkan masalah kepada kementerian. Sebelum ini, ada guru tidak sampai enam bulan mengajar di sekolah ditetapkan, sudah merayu-rayu minta pindah...ini yang menyusahkan kita terutama untuk mencari pengganti guru terbabit,” katanya pada sidang media selepas majlis konvokesyen berpusat Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) j-QAF Keempat; Kursus Lepasan Ijazah Kursus Dalam Cuti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (KDC SBK) dan Kursus Diploma Pergurusan Malaysia Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (KDPM LPBS) di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran, Abdul Halim Abdul Razak.

Seramai 3,259 graduan menerima diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen yang berlangsung dua hari berakhir hari ini.

Dr Mohd Puad berkata, perkara itu masih diperingkat cadangan, dan kajian terperinci dijalankan untuk melihat keberkesanannya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian bercadang memperkenalkan program j-QAF kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan j-QAF di Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) seluruh negara. - Mymetro

* Mengajarpun sambil lewa kerana tidak minat mengajar kawasan yang diberi. Kementerian pula tidak guna fikiran bagaimana mencari guru 'tempatan'.

No comments:

Post a Comment