13 October 2009

Umpama cuba rampas kerusi Anwar di Permatang Pauh


KUALA LUMPUR, 13 Okt: PAS sememang sedar dari awal lagi, percubaan mereka untuk memenangi pilihan raya kecil Bagan Pinang umpama cuba merampas Permatang Pauh dari Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana, Tan Sri Mohd. Isa Samad sudah bertapak di situ sekian lama dalam keadaan dia juga adalah bekas pemimpin utama Umno Negeri Sembilan.

Sebab itulah, PAS lebih senang dengan pendekatan untuk menang negara walaupun terpaksa kalah di Bagan Pinang.

Menjelang pilihan raya, PAS sudah berusaha agar Isa yang dicalonkan Umno dengan harapan akan mendapat manafaat besar dalam pilihan raya umum nanti.

Namun, kemenangan berganda Isa mengejutkan PAS kerana mereka menjangkakan akan dapat mengurangkan majoriti Umno dalam pilihan raya kali ini.

Isa mendapat undi 8,013 berbanding calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar yang mendapat 2,578 undi dengan undi rosak sebanyak 223.

Ini bermakna, Isa mendapat majoriti 5, 435 iaitu kemenangan berlipatganda berbanding calon BN dalam pilihan raya umum 2008 lalu yang menang dengan majoriti 2,333.

Isa menang ketika semua pihak mempertikaikan personaliti beliau yang pernah digantung jawatannya oleh Umno selepas Lembaga Disiplin Umno mendapati beliau bersalah dalam politik wang dalam pemilihan Umno.

Bagi Pengarah Operasi PAS untuk pilihan raya Bagan Pinang, Dr Dzulkefli Ahmad, Umno tidak boleh berbangga dengan kemenangannya di sini kerana yang menang adalah Isa Samad bukannya Umno.

"Jadi membuat satu kesimpulan umum bahawa orang Melayu, Cina atau India sudah kembali kepada Umno adalah satu yang tidak tepat," kata Dr Dzul.

Beliau juga menyifatkan, walaupun calonnya menang dalam pilihan raya ini, "Umno kalah dalam perangnya melawan korupsi."

Beliau juga yakin, kini Umno terjerat dengan keputusannya meletakkan Isa di Bagan Pinang.

"Apakah ini yang pimpinan Umno mahukan selepas melaungkan pendekatan 'Kita mesti berubah atau kita rebah'?

"Umno bagi saya kini terjerat dengan keputusannya sendiri," tegas Dr Dzul bekas Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP). Beliau kini adalah anggota Parlimen Kuala Selangor dan merupakan anak kelahiran Negeri Sembilan.

Bagi Dr Dzul juga, penyelesaian yang Umno capai dalam pilihan raya ini adalah penyelesaian jangka pendek dan sekadar untuk menang sahaja.

"Padahal banyak yang terpaksa umno korbankan kerananya...termasuk agenda perubahan yang Umno nak buat...kini terikat dengan pemimpin kitar semula yang ditolak sendiri Umno sebelum ini," katanya.

Ketika ditanya apakah yang berlaku di Bagan Pinang sehingga kekalahan PAS berlipatganda, Dr Dzul berkata, Bagan Pinang amat unik.

"Ketika saya mula sampai di Bagan Pinang dan cuba bercakap dengan penduduknya, kita diterima dengan negatif sekali..cold shoulders (sambutan dingin)...," katanya.

Sebab itu, kata beliau, apabila pemimpin PAS bercakap soal isu nasional termasuk skandal PKFZ (Zon Perdagangan Bebas Perlabuhan Klang), penduduk di sini tidak melayannya.

"Bahkan, apabila kita bercakap soal isu kepala lembu yang panas di Selangor kepada masyarakat India di sini, mereka tidak melayannya," kata beliau.

"Puncanya kerana kesilapan kita yang tidak memberikan perkhidmatan sebagaimana yang sepatutnya selepas mereka memberikan undi kepada kita dalam pilihan raya umum lepas," kata Dr Dzul lagi.

Namun, apabila PAS bercakap soal isu tempatan, mereka juga tidak memberikan respon yang positif.

Berkaitan dengan isu orang Cina pula, beliau bersetuju dengan analisis sesetengah pihak bahawa orang Cina di sini terkilan dengan kenyataan beberapa pimpinan PAS di Selangor.

Mengikut laporan itu, mereka mahu ajar PAS dalam pilihan raya kali ini dengan tidak mengundi calonnnya.

"Bagi saya ini adalah isu yang real dan pimpinan perlu mengambil tindakan segera dan jangan membuat tidak kesah sahaja," katanya. - Harakahdaily

* PAS bukan berhadapan dengan UmnoBN sahaja tetapi seluruh jentera kerajaan. PAS perlu berjuang 10 kali ganda atau lebih untuk menang pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment