22 October 2009

Suspek kes samun ditembak mati

JOHOR BAHRU 21 Okt. - Seorang suspek kes samun dan ragut mati ditembak manakala rakannya berjaya melarikan diri setelah cuba menyerang polis dengan parang di Taman Johor Jaya, di sini semalam.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam ketika kedua-dua mereka yang menaiki sebuah motosikal dikejar oleh anggota polis dengan kenderaan sama sejauh kira-kira 15 kilometer.

Bagaimanapun sejurus motosikal polis itu menghampiri kenderaan suspek, pemboncengnya bertindak melibaskan parang ke arah anggota terbabit.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal berkata, polis kemudian terpaksa melepaskan tembakan dan mengenai penunggang motosikal tersebut.

Katanya, suspek mati di tempat kejadian manakala rakannya berjaya melarikan diri.

"Kedua-dua suspek yang merupakan rakyat tempatan berusia dalam lingkungan 20-an itu dipercayai terlibat dalam 25 kes samun dan ragut di sekitar Johor Jaya sejak Ogos lalu," katanya.

Menurut Amer, kedua-dua suspek dikesan dalam keadaan mencurigakan oleh anggota terbabit ketika melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan itu.

Katanya, selepas menyedari kehadiran polis, suspek memecut laju motosikalnya jenis Yamaha LC 135 tetapi berjaya dikejar oleh anggota terbabit.

"Anggota itu mengarahkan supaya berhenti tetapi mereka enggan dan menghimpit motosikal polis sebelum pemboncengnya melibaskan parang ke arahnya," ujarnya.

Beliau berkata, polis merampas sebilah parang dan sebuah telefon bimbit dengan tulisan Cina, dipercayai daripada hasil ragut dan samun.

Menurutnya, polis memburu rakan suspek yang melarikan diri dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh. - Utusan

No comments:

Post a Comment