JOHOR BAHRU 21 Okt. - Polis menahan empat suspek kes curi kereta dan merampas lima buah kenderaan curi dalam dua serbuan berasingan di Taman Bukit Kempas dan Bandar Pulai Jaya, di sini Jumaat lalu.
Turut dirampas daripada kesemua suspek lelaki berusia antara 19 dan 34 tahun itu ialah sepucuk pistol tiruan, gari, tiga bilah pedang samurai, parang dan alat pemotong besi.
Kenderaan curi itu pula terdiri daripada dua buah kereta Proton Iswara, kereta Perodua Kelisa, kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria dan motosikal Honda C70.
Menurut Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Johor, Datuk Amer Awal, polis menahan dua suspek di Taman Bukit Kempas pada pukul 4.30 petang dan susulan daripada itu, dua lagi di Bandar Pulai Jaya.
"Siasatan mendapati mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.
Dalam kes berasingan, Amer memberitahu, polis berjaya menahan lima lelaki warga asing, Isnin lalu, yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes samun di bandar raya ini dan Kota Tinggi.
Katanya, kesemuanya ditahan ketika menaiki teksi di Jalan Besar Skudai berhampiran stesen minyak Shell Taman Sri Putri, Skudai, kira-kira pukul 1.35 pagi.
Beliau berkata, kesemua suspek berusia antara 22 dan 35 tahun dan pemeriksaan mendapati seorang daripadanya tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
"Polis turut menemui dua bilah pisau, parang dan penutup mulut serta masing-masing satu rambut palsu, sarung tangan dan jaket daripada warga asing berkenaan," katanya.
Tambahnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Api 1958. - Utusan
No comments:
Post a Comment