15 October 2009

Siswa UM jamin hadiri prosiding Selasa depan

KUALA LUMPUR, 15 Okt: Dua dari lapan pemimpin mahasiswa yang dituduh bersalah membawa masuk ahli politik dalam suatu program rasmi Universiti Malaya, memberi jaminan untuk menghadiri prosiding Selasa depan, demi menjaga nama baik universiti berkenaan.

"HEP sudah buat benda (tindakan) bodoh, sia-sia dan langsung tidak angkat intelektual mahasiswa apabila panggil semula saya Selasa depan, tapi saya tetap akan hadir kerana menjaga nama Universiti Malaya,"tegas Muhammad Haafizuddin Abererah,24,ketika dihubungi semalam.

Menurut bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMiUM) itu lagi, perbicaraan tersebut bakal disaksikan dan ditertawakan oleh masyarakat, kerana tindak-tanduk Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) menipu mahasiswa sebelum ini telah pun dilaporkan beberapa media arus perdana.

Beliau yang juga Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) sebuah sekolah swasta di Pulau Pinang, berharap HEPA tidak lagi mengulangi amalan tidak profesional lalu kerana beliau sudah pun mengambil cuti kecemasan untuk menghadiri prosiding itu.

Ujarnya lagi, universiti seharusnya menggalakkan perkembangan intelektual dengan menggalakkan kebebasan akademik dan universiti autonomi dalam kalangan mahasiswa kelak.

Orang Kena Tuduh (OKT) yang lain, Abu Ubaidah Amir Abdul Malik,22, turut memberi jaminan untuk hadir ke prosiding tersebut, demi mengelakkan sesuatu yang lebih memburukkan universiti dari berlaku.

Sambil berharap kesemua OKT dibebaskan dari pertuduhan tanpa syarat, Abu juga berharap HEPA kembali menilai penguatkuasaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) secara rasional; agar tidak dipandang rendah oleh masyarakat sivil di luar sana.

Tambahnya lagi, jika penangguhan prosiding dilakukan sekali lagi Selasa depan, bermakna HEPA benar-benar angkuh mempermainkan sensitiviti dan komitmen kelapan-lapan OKT terbabit.

Enam OKT yang lain cuba dihubungi kemudian, tetapi gagal.

Dalam perkembangan berkaitan,Adun Seri Setia,Nik Nazmi Nik Ahmad, individu yang merasmikan Muktamar Tahunan PMiUM Mac lepas turut melahirkan rasa kecewa atas dakwaan yang dikenakan ke atas semua OKT terbabit, kerana masa prosiding menjelang musim peperiksaan akhir semester.

"Tindakan yang dilakukan pentadbiran Universiti...mengejutkan dan mengecewakan, apatah lagi di ambang peperiksaan universiti,"ulas beliau dalam blog peribadinya,niknazmi.com.

Beliau yang juga merupakan Setiausaha Politik bagi Menteri Besar Selangor berpendapat, tindakan HEPA tersebut bertentangan dengan semangat kebebasan akademik dan hak berpersatuan.

Ujarnya, dakwaan ke atas semua OKT terbabit secara tidak langsung memberikan tanggapan tidak baik kepadanya.

"...sentimen ini adalah meleset apabila universiti lain bersedia untuk menerima kehadiran saya untuk memberi ucapan dengan tangan terbuka termasuklah Universiti California di Berkeley, Universiti Stanford, Universiti Essex dan The School of Oriental and Asian Studies, London, selain IPT Unisel dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,"jelasnya.

Haafizuddin dan Abu Ubaidah didakwa membawa Nik Nazmi merasmikan program rasmi universiti.

Manakala,keenam-enam pemimpin Persatuan Bahasa Cina Universiti Malaya (PBCUM) turut mendapat pendakwaan yang tidak jauh berbeza; kerana menjemput Adun Seputeh, Teresa Kok dan Ahli Jawatankuasa MCA Pusat, Wong Nai Chee sebagai panel Hakim dalam suatu pertandingan debat rasmi Universiti.

Pun begitu, HEPA Isnin lalu menangguhkan prosiding semua OKT secara tergesa-gesa, tanpa menjelaskan alasan yang munasabah.

Pendakwaan ke atas lapan OKT tersebut jika tidak diselesaikan secara profesional, bukan sahaja mengakibat HEPA dilihat tidak profesional; malah Universiti Malaya yang sudah pun menjadi simbol tradisi kecemerlangan Malaysia juga terpalitkan oleh pelbagai label buruk kelak. - Harakahdaily

No comments:

Post a Comment