PORT DICKSON 7 Okt.—Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Si Rusa di sini menjadi pusat pengundian bagi undi pos untuk 4,571 anggota tentera bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang manakala 31 lagi pengundi pos polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson.
Pengundian bagi undi pos akan berlangsung esok dari pukul 8 pagi hingga pukul 5 petang.
“Kita buka satu saja pusat pengundian (untuk pengundi pos tentera) atas permintaan pihak tentera yang bertanggungjawab ke atas kem-kem ini. Kalau terlalu berselerak banyak sangat, susah nak kawal, kita kumpulkan semua sekali di Pusasda esok,” kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Datuk Wan Ahmad Wan Omar kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau sebelum itu menyaksikan proses pengeluaran dokumen undi pos yang turut dihadiri agen calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson.
Wan Ahmad berkata, pihak tentera juga hanya membenarkan seorang wakil untuk setiap calon berada di pusat pengundian di dalam kem itu nanti.-Bernama
No comments:
Post a Comment