07 October 2009

Polis tahan 6 lelaki terbabit dalam 41 kes samun

JOHOR BAHARU: Polis menahan enam lelaki di Stulang Laut dan Kangkar Pulai di sini yang disyaki terlibat dalam sekurang-kurangnya 41 kes samun dan ragut di sekitar bandar raya ini sejak lapan bulan lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff, berkata dua daripada mereka yang berumur 25 dan 37 tahun diberkas di Stulang Laut pada 26 Sept lepas manakala empat yang lain berumur 18 hingga 29 tahun ditangkap di Kangkar Pulai, susulan daripada itu.

Polis merampas lima parang panjang, pisau, cota, dua buah motosikal dan pelbagai dokumen milik mangsa samun dan ragut, katanya kepada pemberita hari ini.

Dalam kes lain, Mohd Mokhtar berkata polis menahan seorang lelaki berumur 27 tahun dan kakaknya yang berumur 40 tahun kerana memiliki senjata api di sebuah rumah di Taman Skudai Baru, di sini, Rabu lalu.

Katanya, lelaki itu mempunyai tujuh kesalahan jenayah lampau dan pernah dikenakan sekatan mengikut undang-undang pencegahan selama dua tahun, manakala kakaknya tidak mempunyai sebarang rekod jenayah. - Bernama

No comments:

Post a Comment