Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sebagai bekas Menteri Besar dan Menteri Kabinet, Mohd. Isa sudah tentu mempunyai kekuatan dari segi jaringan hubungan sama ada di peringkat Kerajaan Pusat atau negeri.
Justeru, beliau berkata, dengan kedudukannya itu ia akan memudahkan Mohd. Isa menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh penduduk dengan lebih berkesan.
''Selain itu sikapnya yang amat merendah diri serta kedudukannya sebagai anak tempatan adalah antara sebab beliau wajar dipilih untuk menjadi wakil rakyat Bagan Pinang,'' katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perjumpaan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah bersama Usahawan Mara Negeri Sembilan di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh.
Mohd. Isa akan bersaing dengan calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar dalam Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang yang dijadual diadakan pada 11 Oktober ini.
Sementara itu Mohd. Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyelar tindakan pembangkang yang menuduh kerajaan mengabaikan usahawan bumiputera.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan melalui Mara bertungkus lumus membantu usahawan bumiputera supaya mampu bersaing di dalam bidang tersebut.
''Tugas dan tanggungjawab ini tidak pernah kita abaikan kerana kita tahu kaum bumiputera masih memerlukan bantuan daripada pihak kerajaan.
''Di sini saya ingin bertanya kepada mereka adakah kerajaan pakatan pembangkang di Selangor dan Pulau Pinang ada peruntukan khas untuk membantu kaum bumiputera di negeri mereka. Saya percaya mereka tidak ada peruntukan khas seperti Kerajaan Pusat,'' katanya lagi. - Utusan
No comments:
Post a Comment