TEMERLOH,15 Okt: PAS dijangka akan membuat petisyen pilihan raya kecil Dun Bagan Pinang bagi mendedahkan penyelewengan dan salah laku kempen termasuk termasuk pelanggaran Akta pilihan raya di sepanjang tempoh pilihan raya kecil itu diadakan.
Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ceramahnya di Kampung Paya Jauh, dekat sini, semalam telah membayangkan keperluan tindakan itu diambil bagi mendedahkan kepada rakyat tentang apa yang sebenarnya berlaku di Bagan Pinang.
"Memang kita menerima kekalahan di pilihan raya kecil Bagan Pinang. Menang atau kalah pilihan raya adalah perkara biasa. Kita tak ada masalah. Tetapi petisyen pilihan raya kena buat kerana kita dapati terlalu banyak penyelewengan dan tindakan menyalahi undang-undang yang berlaku,"katanya.
Tambah Tuan Ibrahim, beliau kesal dengan corak perjalanan pilihan raya di Bagan Pinang yang dianggap ganas dan kotor akibat daripada ugutan kepada pengundi dan juga rasuah.
"Selepas pilihan raya umum lalu kita lalui banyak pilihan raya kecil. Tetapi pilihan raya kecil Bagan Pinang adalah yang terkotor. Petugas kita diserang sehingga tercedera. Berlaku amalan rasuah yang kita ada bukti tetapi tidak diambil tindakan...kita turut mengesan berlaku pelanggaran akta pilihan raya dan sebagainya. Kita mahu perkara sedemikian tidak berlaku lagi. Sebab itu penting untuk kita adakan petisyen,"jelasnya.
Dalam pilihan raya tersebut, calon BN, Tan Sri Isa Abdul Samad mendapat undi 8,013 berbanding calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar yang mendapat 2,578 undi dengan undi rosak sebanyak 223. - Harakahdaily
No comments:
Post a Comment