15 October 2009

Pengerusi: Baju Shahrir sama dengan warna dinding

Pengerusi tetap perhimpunan agung Umno, Datuk Badaruddin Amiruldin tidak putus-putus mencuit hati perwakilan sewaktu berlangsungnya persidangan khas untuk meminda perlembagaan Umno di PWTC hari ini.

Selepas pengerusi jawatankuasa pindaan perlembagaan Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membentangkan usul pindaan perlembagaan tersebut, ketua Umno bahagian Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad bangun untuk mencadangkan usul tersebut disokong.

Bagaimanapun, Badaruddin tidak perasaan Shahrir sedang berdiri di rostrum untuk menyokongnnya.

Selepas dimaklumkan mengenai kehadiran Shahrir itu, Badruddin secara berseloroh berkata:

“Saya tak nampak sebab bajunya (Shahrir yang berwarna merah hati) sama dengan warna dengan dinding”.

Kenyataannya menyebabkan para perwakilan ketawa terbahak-bahak.

Selepas itu, ketika ketua Umno bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshe bangun untuk menyokongnya, sekali lagi Badruddin mencuit hati perwakilan apabila berkata:

“Sila perkenalkan nama dan nyatakan datang dari dunia mana...”

Syed Ali pula menjawab: “ Saya Syed Ali Alhabshe datang dari dunia Cheras”.

Semasa proses pindaan berjalan dengan laju kerana perwakilan terus menerus menyatakan bersetuju pada hampir kesemua cadangan pindaan diusulkan, Badruddin berkata: “Kalau macam ini, cepatlah boleh makan...”. - Malaysiakini

Baju batik Shahrir tarik perhatian

JOHOR BAHRU: Setiap kali calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad, bertemu media dan orang ramai, mungkin ramai yang perasan mengenai baju yang sering dipakainya.

Beliau sering dilihat memakai baju kemeja lengan pendek bercorak batik berasaskan kain kapas, namun tidak pernah pula sesiapa terfikir untuk bertanya di mana beliau membeli baju rekaan sama yang dipakai.

Shahrir berkata, beliau sering memakai baju kemeja lengan pendek bercorak batik yang dibuat daripada kain kapas berikutan keselesaan memakainya sejak menjadi Ahli Parlimen sekitar 1978.

Katanya, sehingga ini, beliau masih memakai baju kemeja lengan pendek konsep sama namun kini jenama yang sering dipakainya berjenama Mambang.”Baju Mambang ini sebenarnya muncul hasil idea saya dan dua rakan untuk menjadikannya seolah-olah baju rasmi selepas bermain golf.

“Oleh kerana saya kerap bermain golf di Bali, Indonesia, kami mendapat idea membeli lebihan kain bercorak batik yang sering digunakan membuat pakaian eksport dari Bali dengan menempahnya menjadi baju kemeja lengan pendek dan memakainya selepas bermain golf,” katanya di sini, kelmarin.

Selain itu, katanya, sekiranya diteliti butang baju Mambang berkenaan juga buatan Bali yang dibuat daripada tempurung kelapa.

Shahrir berkata, beliau pernah menghadiahkan baju Mambang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman yang pernah dilihat memakai baju berkenaan pada majlis tertentu.

Ditanya bagaimana beliau dan rakannya mendapat ilham menamakan baju itu dengan jenama Mambang, beliau berkata, nama berkenaan adalah mudah dan ia muncul secara kebetulan. www.umnojb.com.my

No comments:

Post a Comment